Proses pelantikan unilateral berisiko wujud pengaruh politik

SPRM mesti dilindungi daripada sebarang pengaruh luar yang tidak wajar. (Gambar kecil: Pushpan Murugiah)
SPRM mesti dilindungi daripada sebarang pengaruh luar yang tidak wajar. (Gambar kecil: Pushpan Murugiah)
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan proses pelantikan secara unilateral mengikut budi bicara Perdana Menteri dikhuatiri berisiko mewujudkan pertimbangan politik yang boleh mempengaruhi hala tuju operasi sesebuah organisasi.

Ia susulan tindakan melantik semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh satu tahun berkuat kuasa 13 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Pushpan Murugiah berkata, SPRM sebagai badan agensi anti rasuah negara mempunyai peranan penting dan perlu dilindungi daripada sebarang pengaruh luar yang tidak wajar.

“Fungsinya adalah untuk menyiasat kegiatan rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih dan diberikan kuasa statutori seumpama kuasa pasukan polis.

“Atas sebab itu, SPRM mesti dilindungi daripada sebarang pengaruh luar yang tidak wajar.

“Selagi proses pelantikan itu tidak direformasikan secara menyeluruh, kepercayaan awam terhadap integriti sistem keadilan jenayah akan terus tercemar,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tidak bersetuju dengan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk penggal ketiga.

Beliau turut menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu keputusan yang ‘tidak dialu-alukan’.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh satu tahun berkuat kuasa Selasa ini.

Menurut Pushpan, meskipun terdapat hujah mengatakan pindaan undang-undang mengambil masa untuk digubal dan diluluskan namun tiada apa yang menghalang kerajaan daripada memperkenalkan langkah di peringkat dasar untuk mendemokrasikan proses pelantikan.

“Sebagai contoh dengan mengadakan panggilan terbuka kepada calon-calon (untuk pelantikan jawatan berkenaan), menerima input daripada ahli Parlimen pembangkang dan wakil masyarakat sivil serta mengekalkan ketelusan sepanjang proses pemilihan.

“C4 Center ingin menegaskan bahawa pendekatan ini hanya akan memberi kesan buruk kepada kerajaan, kerana sebarang tindakan yang diambil oleh SPRM akan sentiasa dibayangi oleh persepsi awam mengenai ketidakadilan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!