'Tiba-tiba mereka tenggelam, Irfan tak dapat diselamatkan'

SETIU - Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut manakala lima rakannya nyaris lemas ketika mandi-manda di Lata Changkah, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Wan Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 24, yang beralamat di Kota Bharu, Kelantan ditemukan lemas selepas dikatakan tenggelam bersama lima rakan lain ketika mandi di bahagian tengah sungai tersebut.
Rakan mangsa, Muhammad Hady Izzudyn Ikmal Hisam, 23, berkata, mereka berlapan ke lokasi itu untuk berkelah dan mandi sebelum ditimpa kejadian tersebut.
Menurutnya, kejadian yang berlaku dalam tempoh singkat itu menyebabkan mereka tidak berjaya menyelamatkan Wan Ahmad Irfan.
"Saya naik sekejap ke darat untuk minum air dan nampak enam rakan termasuk Irfan masih mandi. Tiba-tiba saya nampak mereka semua tenggelam timbul.
"Saya terus terjun dan berjaya tolak empat orang ke darat manakala seorang lagi diselamatkan oleh orang awam.

"Malangnya, dalam keadaan cemas itu, Irfan hilang daripada pandangan dan tidak berjaya diselamatkan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini pada Isnin.
Menurutnya, rata-rata mereka termasuk Wan Ahmad Irfan tidak tahu berenang dan hanya beberapa kali datang ke kawasan rekreasi tersebut.
"Kebanyakan daripada kami tidak tahu berenang. Sebelum ini pun kami pernah beberapa kali datang ke sini untuk melihat suasana berkelah di sini," ujarnya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Zuraidi Mohd Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.42 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa ditemui melalui kaedah selaman pada kedalaman 4.5 meter di dasar sungai, kira-kira sejam kemudian.
"Lima mangsa lain dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!