Pintu kereta terbuka tiba-tiba, wanita maut dilanggar lori tangki

Seorang wanita maut dilanggar sebuah lori tangki selepas tercampak dari kereta dinaiki.
Seorang wanita maut dilanggar sebuah lori tangki selepas tercampak dari kereta dinaiki.
A
A
A

PORT DICKSON – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut dilanggar sebuah lori tangki selepas mangsa tercampak keluar dari kereta yang dinaikinya di Kilometer 26, Jalan Lukut–Sepang, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, mangsa berusia 39 tahun itu dipercayai tercampak keluar selepas pintu belakang kereta terbuka secara tiba-tiba.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah lori tangki minyak jenis Volvo.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pintu belakang sebelah kanan jenis Perodua Myvi yang dinaiki wanita itu terbuka secara tiba-tiba sewaktu melalui selekoh menyebabkan dia tercampak ke jalan bertentangan sebelum dilanggar lori tangki minyak jenis Volvo dari arah berlawanan.

"Suami wanita yang juga pemandu berusia 34 tahun dan bayi mereka, lima bulan yang berada di tempat duduk hadapan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak serta pemandu lori tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Tambah beliau, pemandu lelaki berusia 34 tahun tidak cedera, manakala anaknya berusia lima bulan yang berada di tempat duduk hadapan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu lori tangki turut tidak mengalami kecederaan. Hasil semakan mendapati kedua-dua kenderaan mempunyai cukai jalan dan insurans yang masih aktif.

“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu kereta juga menunjukkan keputusan negatif dadah,” katanya.

Jelas beliau, rakaman kamera papan pemuka dari lori tangki telah diperoleh bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, katanya, tiada unsur jenayah dikesan dan siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan pintu kenderaan sentiasa dikunci dengan selamat, terutamanya apabila membawa penumpang, bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!