Kepala air: Risiko tersembunyi alam semula jadi

Anggota bomba memantau keadaan kawasan rekreasi Alang Sendayu di Gombak yang dilanda kepala air pada Ahad. (Gambar kecil: Shahafizan dan Jaafar)
Anggota bomba memantau keadaan kawasan rekreasi Alang Sendayu di Gombak yang dilanda kepala air pada Ahad. (Gambar kecil: Shahafizan dan Jaafar)
A
A
A

HULU LANGAT – Dua kejadian berasingan melibatkan kepala air di kawasan rekreasi Sungai Lepoh, Hulu Langat dan Alang Sendayu, Gombak pada Ahad lalu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengunjung, sekali gus menimbulkan persoalan tentang tahap keselamatan di lokasi riadah semula jadi itu.

Insiden yang berlaku sewaktu cuti hujung minggu itu menjadi detik mencemaskan buat pengunjung, khususnya keluarga yang datang untuk bersantai.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ramai pengunjung menganggap peristiwa itu sebagai satu amaran keras agar tidak memandang ringan risiko tersembunyi alam semula jadi.

Seramai 18 individu termasuk tujuh kanak-kanak terperangkap ketika beriadah di Sungai Lepoh, Hulu Langat pada Ahad.
Seramai 18 individu termasuk tujuh kanak-kanak terperangkap ketika beriadah di Sungai Lepoh, Hulu Langat pada Ahad.

“Saya memang suka bawa anak-anak mandi sungai, tapi sekarang saya akan lebih berhati-hati. Nyawa lebih penting dari keseronokan sesaat,” kata Nurul Aini, seorang ibu dari Cheras yang kerap berkunjung ke lokasi rekreasi semula jadi.

Pengunjung lain, Shahafizan Sabarudin dari Kampung Tengah menekankan pentingnya orang ramai peka terhadap perubahan alam sekitar.

“Cuaca sekarang tak menentu. Jangan ambil mudah kalau air sungai tiba-tiba jadi keruh, arus kuat atau ada bunyi deras dari arah hulu, itu semua petanda bahaya,” katanya yang juga seorang nazir.

Shahrizam Ismail
Shahrizam Ismail

Sementara itu, pengusaha dan jurulatih rekreasi di Sungai Lepoh, Shahrizam Ismail menjelaskan bahawa mereka sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) walaupun ketika musim hujan.

Artikel Berkaitan:

“Semua kru yang bertugas telah jalani latihan dan kursus keselamatan. Tapi cabarannya, ramai pengunjung datang secara bebas tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, keselamatan pengunjung adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak pada bahu pengusaha tempat rekreasi semata-mata.

Tok Batin Jaafar, pemimpin masyarakat Orang Asli di kawasan berdekatan, turut menyuarakan keprihatinan beliau terhadap peningkatan jumlah pengunjung yang tidak mematuhi larangan dan amaran keselamatan yang ditetapkan.

“Kadang-kadang pengunjung tak mahu dengar nasihat, mereka fikir sungai itu selamat selamanya,” ujarnya.

Katanya, insiden itu menjadi satu peringatan besar bahawa aktiviti riadah di alam semula jadi memerlukan kesedaran tinggi tentang risiko persekitaran.

Tambahnya, pihak berkuasa juga disaran memperketat penguatkuasaan dan meningkatkan kempen kesedaran kepada orang awam agar tragedi dapat dielakkan.

"Keseronokan tidak harus mengorbankan keselamatan. Langkah berjaga-jaga mampu menyelamatkan nyawa," tambah Tok Batin Jaafar.

Dalam kejadian pertama di Hulu Langat, seramai 18 individu termasuk tujuh kanak-kanak terperangkap ketika beriadah di Sungai Lepoh.

Pasukan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan pada jam 5.09 petang segera menjalankan operasi menyelamat.

Kesemua mangsa berjaya dibawa ke tempat selamat walaupun seorang wanita mengalami sesak nafas.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tiada papan tanda amaran diletakkan di kawasan berisiko itu dan difahamkan pengusaha pusat rekreasi mengambil inisiatif sendiri mewujudkan tanda peringatan di kawasan mereka.

Sementara itu, di Gombak, tujuh lagi individu berdepan detik mencemaskan apabila arus deras secara tiba-tiba melanda kawasan rekreasi Alang Sendayu.

Empat daripada mereka sempat diselamatkan oleh orang awam manakala tiga lagi diselamatkan oleh anggota bomba.

Seorang mangsa mengalami kecederaan patah kaki dalam kejadian tersebut.

Kejadian-kejadian itu mendapat perhatian ramai, terutama pengguna di media sosial yang menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kesedaran keselamatan awam kerana ramai pengunjung tidak menyedari tanda-tanda awal fenomena kepala air yang boleh berlaku tanpa amaran jelas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!