Serangan dron India di Pakistan dedahkan peranan Israel dalam konflik Asia Selatan

NEW DELHI – Penggunaan dron buatan Israel oleh India dalam serangan rentas sempadan terbaharu terhadap Pakistan telah menarik perhatian global, bukan sahaja dari segi implikasi taktikal tetapi juga sebagai petunjuk kepada kedalaman strategik hubungan yang berkembang antara India dan Israel, lapor The Times Of Israel.
Pada Khamis lalu, tentera Pakistan mendakwa telah menembak jatuh 25 dron India dikenali sebagai Harop yang dihasilkan oleh Israel Aerospace Industries selepas didakwa menceroboh ruang udara negara itu.
Dron-dron tersebut dilaporkan menyasarkan lokasi di beberapa bandar utama, termasuk Karachi dan Lahore, susulan serangan peluru berpandu India sehari sebelumnya ke atas apa yang digambarkan oleh New Delhi sebagai infrastruktur pengganas di Kashmir dan Punjab yang ditadbir Pakistan
Serangan tersebut merupakan tindak balas terhadap serangan pengganas pada April lalu di Kashmir yang dikuasai India sehingga mengorbankan 24 pelancong.
Penggunaan platform dron buatan Israel oleh India dalam operasi tersebut mencerminkan hubungan yang telah matang selama beberapa dekad.
Felo kanan di Institut Jerusalem untuk Strategi dan Keselamatan (JISS) serta pakar dalam hubungan India-Asia Barat, Dr Oshrit Birvadker memberitahu The Times of Israel bahawa penggunaan dron Harop dan Heron Mark-2 dalam serangan itu menggambarkan bagaimana "Israel memainkan peranan yang signifikan dan semakin berkembang dalam strategi ketenteraan semasa India, terutamanya dalam konteks peningkatan ketegangan dengan Pakistan."
Beliau menyatakan bahawa "India merupakan pembeli antarabangsa terbesar bagi sistem pertahanan dari Israel Aerospace Industries" dan bahawa dron-dron canggih itu "secara signifikan memperluas keupayaan pengawasan dan serangan altitud tinggi India."
Menurut laman web IAI, dron itu direka untuk menyediakan keupayaan tindak balas pantas dan fleksibel merentasi pelbagai senario operasi - dari misi jarak dekat hingga serangan mendalam sambil memberikan keupayaan pengumpulan risikan masa nyata dan serangan tepat.
Ciri-ciri ini menjadikannya amat berkesan dalam persekitaran pertempuran yang tidak menentu dan kompleks, termasuk kawasan bandar yang padat seperti Karachi dan Lahore.
Walaupun Israel mengelak daripada membuat sokongan politik secara terbuka dalam konflik Asia Selatan, bekalan senjatanya yang konsisten telah ditafsirkan secara meluas sebagai sokongan senyap terhadap pendirian serantau India, terutamanya terhadap musuh bersama seperti Pakistan dan China.
"Pendekatan seimbang ini membolehkan Israel mengekalkan hubungan pertahanan yang menguntungkan dengan India sambil mengehadkan kesan diplomatik di tempat lain," kata Birvadker.
Ketika konfrontasi India-Pakistan terus berkembang, Birvadker percaya bahawa peranan Israel tidak akan terlepas daripada perhatian dunia.
Di luar optik politik, perhatian antarabangsa kini tertumpu kepada isu penjualan senjata ke zon konflik.
"Ada kemungkinan besar bahawa pengawasan antarabangsa akan meningkat mengenai penjualan teknologi ketenteraan canggih kepada negara-negara yang terlibat dalam konflik serantau yang berterusan," kata Birvadker. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!