Apa seterusnya berlaku antara 'perang' India vs Pakistan?

Shehbaz Sharif.
Shehbaz Sharif.
A
A
A

ISLAMABAD – Ketegangan antara India dan Pakistan kini bergantung kepada langkah susulan yang bakal diambil oleh Islamabad selepas serangan udara India ke atas wilayah Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan awal pagi Rabu.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, telah berikrar untuk bertindak balas terhadap serangan tersebut, namun bentuk tindak balas itu akan menjadi penentu sama ada kedua-dua negara boleh mencari jalan damai atau terus terjerumus ke dalam konflik yang lebih meruncing.

Antara pilihan yang ada untuk Pakistan ialah mendakwa telah mencapai kemenangan dengan merujuk kepada dakwaan telah menembak jatuh lima pesawat milik Tentera Udara India, termasuk tiga jet pejuang Rafale buatan Perancis.

Menurut Milan Vaishnav, felo kanan dan Pengarah Program Asia Selatan di Carnegie Endowment for International Peace, jika benar pesawat India telah berjaya ditembak jatuh, Pakistan boleh mendakwa mereka telah mengenakan ‘kos ketenteraan’ terhadap India, meskipun keadaan sebenar masih belum jelas.

Pilihan kedua bagi Pakistan ialah melancarkan serangan balas. Tanvi Madan, felo kanan dalam program Dasar Luar di Brookings Institution berkata, Pakistan mungkin mahu membalas secara setimpal memandangkan beberapa serangan India menyasarkan wilayah Punjab yang padat dengan penduduk.

Ketua Tentera Pakistan, Jeneral Syed Asim Munir, yang dikenali sebagai lebih tegas berbanding pendahulunya, Jeneral Qamar Javed Bajwa ketika insiden konflik pada tahun 2019, juga mungkin memilih untuk meningkatkan tekanan terhadap India.

Namun, menurut Madan, India sebelum ini telah memberi isyarat bahawa sebarang tindakan melampau dari Pakistan akan menerima tindak balas tegas, justeru Islamabad mungkin mempertimbangkan pendekatan lebih berhemah dan tidak melampaui satu pertimbangan tertentu.

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif, dalam kenyataannya menegaskan bahawa sebarang serangan balas hanya akan menyasarkan kemudahan ketenteraan India dan bukannya kawasan awam.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan terkini dari pihak Pakistan menunjukkan bahawa mereka sedang menilai untuk bertindak secara lebih terkawal. Namun, Madan menegaskan bahawa segala kemungkinan masih terbuka.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kedua-dua negara ini adalah pelaku yang rasional dan tidak mahu berdepan peperangan besar. Kedua-duanya mempunyai banyak perkara untuk dikorbankan sekiranya konflik terus melarat,” katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!