Yang penting rakyat hendak lihat hasil

Nurul Izzah, Rafizi.
Nurul Izzah, Rafizi.
A
A
A

PERTEMBUNGAN antara Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang tengah panas sekarang.

Tetapi ini adalah sesuatu yang normal kerana mereka ini bertanding untuk merebut jawatan dalam parti politik.

Ditambah pula, PKR sekarang adalah parti yang sedang berada di puncak kuasa, jadi persaingan jawatan itu cukup sengit jika hendak dibandingkan dengan pertubuhan-pertubuhan lain.

Macam-macam kaedah yang digunakan untuk cuba memenangi hati ahli-ahli parti supaya mengundi mereka pada pemilihan yang akan diadakan dua minggu lagi.

PKR juga sudah mencapai usia 26 tahun dan kalau disamakan dengan manusia, umur sebegini masih muda, berdarah panas serta agresif.

Perjalanan parti ini masih panjang untuk benar-benar membuktikan kemampuan mereka untuk mentadbir negara.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PKR bersama Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan, namun usianya tidak panjang dan mampu bertahan dalam tempoh dua tahun sahaja.

Bagaimanapun, PH berpeluang menjadi kerajaan sekali lagi selepas PRU15, kali ini bersama Barisan Nasional (BN) menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Peluang kedua ini tidak boleh disia-siakan begitu sahaja dan wajar diteruskan sehingga habis tempoh penggal bagi membolehkan rakyat membuat penilaian menyeluruh terhadap keupayaan PKR dan PH.

Artikel Berkaitan:

Pemilihan dalam PKR kali ini juga penting kerana dalam tempoh dua tahun lagi, mereka akan menghadapi PRU16, justeru perlu mempersiapkan pasukan yang kuat dan mantap.

Andai dalam pemilihan kali ini, ada yang ‘terluka’ dan ‘tercedera’ maka tempoh dua tahun akan datang adalah cukup untuk memastikan ia dapat sembuh kembali atau PKR akan mengalami masalah dalaman yang serius.

Pada masa ini, kita sebagai rakyat sama ada ahli parti atau bukan ahli bolehlah melihat gelagat pemain-pemain politik mencatur strategi masing-masing untuk mendapatkan kuasa.

Selepas selesai pemilihan nanti kita harap biarlah seperti pepatah biduk lalu, kiambang bertaut, yang bermaksud orang yang berkelahi, akhirnya akan kembali berbaik semula.

Apa yang penting ialah rakyat hendak lihat agar segala janji yang ditaburkan dapat ditunaikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!