Rasuah pilihan raya ancam demokrasi

Rasuah dalam pilihan raya bukan sahaja melemahkan, malah mampu meruntuhkan struktur demokrasi. (Foto123RF) Gambar kecil: Mohamad Hafis
Rasuah dalam pilihan raya bukan sahaja melemahkan, malah mampu meruntuhkan struktur demokrasi. (Foto123RF) Gambar kecil: Mohamad Hafis
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak termasuk pengundi, parti politik dan institusi penguat kuasa perlu menolak rasuah dalam apa jua bentuk demi memastikan keadilan serta ketelusan dalam pilihan raya sentiasa terpelihara.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Mohamad Hafis Amat Simin, berpandangan bahawa rasuah dalam pilihan raya bukan sahaja melemahkan, malah mampu meruntuhkan struktur demokrasi.

“Amalan rasuah adalah satu tindakan politik yang kotor. Praktik rasuah yang berleluasa seperti pembelian undi, sogokan atau penyelewengan dana kempen menyebabkan proses pilihan raya tidak lagi mengangkat suara sebenar rakyat.

“Ini boleh menjejaskan ketelusan dan keadilan dalam pilihan raya itu sendiri kerana calon yang menang bukan dipilih berdasarkan merit atau sokongan pengundi, tetapi kerana aktor politik ini mampu ‘membeli’ undi,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, ketelusan sistem politik negara turut tercalar sekiranya tadbir urus pilihan raya tidak dilaksanakan secara jujur dan terbuka.

“Keruntuhan keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap institusi pilihan raya dan badan penguat kuasa akan berlaku apabila rakyat melihat institusi ini gagal menangani perbuatan rasuah secara tegas.

“Kesannya, praktik politik kotor ini akan terus dibudayakan, di mana kuasa dan jawatan diperoleh bukan melalui merit, tetapi melalui manipulasi dan penipuan.

“Implikasinya, pembangunan negara akan terhalang kerana pemimpin yang dipilih secara tidak sah dan korup. Pemimpin seperti ini tidak akan berkhidmat demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, beliau menegaskan bahawa adalah penting untuk semua pihak termasuk pengundi, parti politik dan institusi penguat kuasa untuk menolak dan membanteras rasuah dalam apa jua bentuk bagi memastikan keadilan serta ketelusan sistem politik terus terpelihara.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah benteng utama dalam mencegah rasuah politik.

“Kecekapan, ketelusan dan integriti yang tinggi dalam kalangan mereka amat penting bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik dapat disuburkan.

“Tanpa penguatkuasaan yang tegas, adil dan bebas pilih kasih, usaha memerangi rasuah di Malaysia akan menjadi sia-sia serta membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa yang berleluasa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!