Umat Islam Tamil main peranan penting sebar bahasa Tamil ke peringkat global

IPOH – Sumbangan signifikan umat Islam Tamil dalam pengembangan dan penyebaran bahasa Tamil ke peringkat global amat dihargai.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, peranan besar komuniti itu dalam membawa bahasa dan sastera Tamil merentasi sempadan negara wajar didokumentasikan secara menyeluruh agar tidak hilang ditelan zaman.
Menurutnya, usaha pengembangan itu dilakukan menerusi kegiatan perdagangan antarabangsa yang diceburi oleh mereka sejak sekian lama.
“Sejarah membuktikan bahawa umat Islam Tamil memainkan peranan besar dalam menyebarkan bahasa Tamil melalui kegiatan komersial antarabangsa mereka. Namun, sumbangan besar ini masih belum direkodkan secara menyeluruh dan sistematik.
“Kita perlu mengambil lebih banyak inisiatif untuk merekodkan sejarah mereka agar generasi akan datang mengetahui bagaimana bahasa Tamil dibawa ke serata dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut mengungkapkan perkara sama semasa berucap sempena Persidangan Jubli Emas anjuran Persatuan Sastera Islam (ILS) di Tiruchi, Tamil Nadu, India yang sedang berlangsung ketika ini.
Persidangan selama tiga hari yang bermula 9 Mei itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Tamil Nadu, M.K. Stalin serta Timbalan Ketua Menteri, Udhayanidhi Stalin.
Ia menghimpunkan sarjana Islam Tamil dari seluruh dunia untuk membincangkan pelbagai perspektif mengenai sumbangan komuniti tersebut dalam bidang sastera dan bahasa.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam menganjurkan Persidangan Sastera Islam Tamil Sedunia Ke-10 di Malaysia pada masa akan datang.
Bekas Menteri Sumber Manusia itu memuji kejayaan ILS dalam menganjurkan persidangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai platform penting untuk mengiktiraf serta menghargai warisan sumbangan umat Islam Tamil dalam memperkayakan bahasa Tamil secara global.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


