RM10 juta selenggara kedai, gerai kecil di Sabah - Anwar

Anwar bersalaman dengan orang ramai ketika tiba bagi merasmikan Majlis Penutupan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Peringkat Negeri Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau pada Ahad. Foto Bernama
Anwar bersalaman dengan orang ramai ketika tiba bagi merasmikan Majlis Penutupan Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Peringkat Negeri Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

TAWAU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi menyelenggara kedai dan gerai kecil di seluruh Sabah menerusi Projek Siap Tamu Desa Sabah.

Beliau berkata, peruntukan itu diberikan sebagai hadiah sempena sambutan Hari Ibu bagi menghargai golongan wanita yang berniaga di pasar luar bandar agar mereka dapat menjalankan perniagaan dalam suasana yang lebih selesa dan teratur.

“Datuk Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) bisik kepada saya tentang Tamu Madani, pasar-pasar di luar bandar yang memerlukan peruntukan tambahan. Ini hadiah Hari Ibu untuk ibu-ibu yang berniaga.

“Kalau kita lihat di luar, kebanyakan ibu-ibu menjual buah-buahan, makanan di luar bandar yang terletak di luar kawasan pihak berkuasa tempatan dan tidak berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), maka kita nak beri peruntukan RM10 juta.

“Bukan untuk bina restoran besar, bukan juga warung besar. Cukup sekadar menyediakan bumbung yang baik, supaya mereka tidak terdedah kepada panas terik. Supaya gadis-gadis Sabah kekal putih dan tidak gelap disebabkan matahari,” katanya secara berseloroh ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Madani Rakyat 2025 di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini, pada Ahad.

Terdahulu, ketika membuka ucapan, Anwar sempat menitipkan peringatan bersempena sambutan Hari Ibu dengan mengajak rakyat untuk menghargai insan bergelar ibu, bukan sekadar pada hari istimewa itu, tetapi sepanjang masa.

“Hari ini juga Hari Ibu, bagi kita bukan hari ini saja, hari-hari (Hari Ibu). Orang yang lalui dugaan melahirkan kita, tunjuk kasih sayang kepada kita.

“Jadi pada hari ini, anak-anak yang masih mempunyai ibu, selepas ini dan malam ini jangan lupa cium tangan mereka, tunjukkan kasih sayang.

Artikel Berkaitan:

“Bagi orang seperti saya yang sudah kehilangan ibu, jangan lupa baca al-Quran, doakan kesejahteraan roh mereka agar dicucuri rahmat oleh Allah SWT,” katanya.

Anwar turut menyentuh nostalgia lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menyentuh mengenai kasih seorang anak terhadap ibunya.

“Ibu... ibu... ibu... dikaulah ratu hatiku,” katanya sambil menyebut bait lirik lagu yang disifatkan membawa makna yang mendalam terhadap pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu.

Sehubungan itu, dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan bahawa ramai anak yang masih memiliki ibu mungkin terlupa untuk menghargai kehadiran mereka kerana menganggapnya sebagai perkara biasa.

“Saya harap jangan lupa pesan ini. Kadang-kadang kita yang ada ibu anggap biasa. Kadang-kadang didikan anak-anak sekarang agak kasar, tak tunjuk kasih sayang. Ada yang sudah bekerja besar, dua tiga minggu sekali pun sukar nak telefon, tanya khabar.

“Jadi saya harap, Hari Ibu ini dijadikan kesempatan. Kita kena ingatkan diri, sebab kadang-kadang kita manusia ini... mudah lupa,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!