Syabu dalam bungkusan teh herba

Polis menunjukkan dadah jenis syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh herba.
Polis menunjukkan dadah jenis syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh herba.
A
A
A

KUANTAN - Taktik sindiket pengedaran dadah menyorok syabu seberat 6.913 kilogram (kg) dalam bungkusan teh herba terbongkar apabila polis berjaya merampas dadah bernilai RM280,000 itu dalam serbuan berasingan di daerah ini dan Dungun, Terengganu kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan pertama dilakukan di Jalan Dato Lim Hoe Lek di sini kira-kira jam 9.45 pagi telah menahan tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara 24 hingga 41 tahun.

"Polis menahan dua suspek di sebuah hotel manakala dua lagi ditahan di sebuah pasar raya.

"Polis turut merampas 6.437kg syabu yang dibungkus dengan bungkusan plastik teh herba sebagai taktik mengelirukan pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPK) Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut ke atas semua suspek membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di Paka, Dungun, Terengganu pada jam 9 malam hari sama.

"Dalam serbuan itu polis berjaya merampas 476.61 gram syabu yang turut dibungkus dalam plastik teh herba.

"Nilai rampasan dadah ialah RM280,000 manakala nilai sitaan harta dan wang tunai ialah RM75,632 menjadikan keseluruhan nilai dadah dan harta yang disita ialah RM355,632.00," katanya.

Menurutnya, ujian saringan urin polis mendapati dua suspek positif methaphetamine manakala tiga lagi negatif.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka direman di bawah Seksyen117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Empat daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Semasa memberkas tidak berlaku sebarang pergelutan atau kekerasan kerana kita telah membuat risikan dan perancangan awal dapat maklumat yang lebih awal," katanya.

Beliau berkata, dadah tersebut dipercayai diseludup dari negara jiran menerusi Terengganu untuk pasaran pantai timur.