InDrive dan Maxim dihenti operasi, pengguna bimbang terbeban tambang e-hailing mahal

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tindakan kerajaan menghentikan operasi dua aplikasi e-hailing dari Russia iaitu InDrive dan Maxim, menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna tetap perkhidmatan itu yang menyifatkan langkah tersebut boleh mendorong kepada monopoli pasaran oleh syarikat lain.
Bagaimanapun, sebahagian pengguna mengakui faktor keselamatan tidak boleh dipandang ringan, memandangkan perkhidmatan dua aplikasi e-hailing tersebut kerap dikaitkan dengan isu keselamatan termasuk dakwaan menculik dan kes gangguan seksual.
Pelajar universiti, Nurul Aziqin Halim, 23, berpandangan, walaupun wujud kebimbangan terhadap potensi monopoli oleh syarikat berdaftar yang menawarkan perkhidmatan sama, namun dari segi keselamatan tetap perlu diutamakan, terutama pengguna wanita.
“Memang betul, kalau Maxim dan InDrive dihentikan akan ada syarikat lain monopoli harga tambang kerana sudah tiada persaingan.
“Tetapi saya juga risau kerana sudah banyak kes dilaporkan melibatkan dua aplikasi ini dalam aspek keselamatan,” katanya pada Sabtu.
Pekerja swasta, Yap Kian Hin, 29, pula berpendapat, pengguna akan kekurangan pilihan serta terbeban dengan kos tambang lebih mahal sekiranya perkhidmatan InDrive dan Maxim ditamatkan.
“Sebelum ini boleh buat perbandingan harga kerana pilihan banyak. Mana yang tawar harga murah, itulah yang menjadi pilihan.
“Kita sudah merasai zaman teksi dahulu apabila dikenakan caj sesuka hati, menyebabkan pengguna tiada pilihan. Sudahlah beban kewangan semakin meningkat di zaman ini,” katanya.
Justeru, dia menyarankan agar kerajaan tidak tergesa-gesa membuat keputusan tanpa menyediakan alternatif yang setanding dari segi harga dan keselamatan pengguna.
Penjawat awam, Theva Sarma Gopala Krishnan, 27, berkata, isu melibatkan e-hailing itu perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan sekadar dari aspek penguatkuasaan.
“Kalau ikut pandangan syarikat pengangkutan tempatan, mungkin ada sebab untuk hentikan operasi Maxim dan InDrive.
“Tetapi dari sudut pengguna, isu ini boleh menimbulkan kegusaran kerana implikasinya luas termasuklah kemungkinan kenaikan harga tambang secara mendadak,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menyifatkan pemberhentian operasi InDrive dan Maxim sebagai satu keadilan kepada para pemandu yang mematuhi undang-undang.
Penghantar dalam kenyataan memaklumkan, InDrive sebelum ini pernah diambil tindakan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akibat daripada ketidakpatuhan mereka terhadap undang-undang sedia ada.
Katanya, InDrive tetap menjalankan beroperasi dengan menggunakan kaedah lain walaupun dalam tempoh penggantungan tersebut
“Ini jelas adalah satu tindakan penghinaan dan pencabulan terhadap kedaulatan undang-undang negara. Undang-undang yang telah dikuatkuasakan perlu dimartabatkan oleh semua pihak yang terlibat,” kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

