Pak Lah selamatkan DBP

SAYA menerima panggilan telefon pada satu petang Rabu bulan April tahun 2005. Panggilan yang membawa makna cukup besar pada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“DBP sekarang di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan,” kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Pelajaran pada masa itu. Tidak ada salam dan tanpa pertanyaan khabar, itu bukan cara Hishammuddin yang saya kenal.
“Keputusan Kabinet hari ini,” katanya lagi.
Sebelum saya bertanya bagaimana hal itu boleh berlaku dan apakah beliau bersetuju dengan keputusan itu beliau berkata, “Saya tak ada dalam mesyuarat pagi ini.” Saya tergamam dan terdiam.
“Jumaat pagi jumpa saya di rumah. Cuba fikirkan apa nak buat,” katanya sebelum meletakkan telefon.
DBP memang sentiasa berada di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. DBP merupakan badan berkanun di bawah kementerian itu. Malah DBP adalah salah satu institusi kebanggaan Kementerian Pelajaran.
Sejak penubuhannya pada 1956, DBP diamanahkan untuk membina dan mengembangkan bahasa dan sastera serta memajukan industri buku dalam bahasa kebangsaan.
Saya tahu Hishammuddin mahukan saya menyiapkan talking points tentang perkara itu. Saya dapat membaca fikirannya, beliau mahu DBP kekal di bawah kementeriannya.
DBP adalah satu kebanggaan bangsa malah crown jewel atau mutiara berharga bagi Kementerian Pelajaran.
Saya berjaga sepanjang malam itu menyiapkan dokumen yang saya beri judul ‘Mengapa DBP Perlu Dikekalkan Di Bawah Kementerian Pelajaran’. Saya mengenali institusi ini sejak sekian lama. Malah saya pernah berkhidmat di situ dari 1 Julai 1977 hingga 30 September 1992.
Saya kemudiannya dilantik sebagai salah seorang Lembaga Pengarah DBP pada tahun 2001, Timbalan Pengerusi DBP pada 2003 dan saya menjadi Pengerusi DBP pada 2006 hingga 2010.
Pada hari Jumaat saya berada di rumah Hishammuddin awal pagi. Beliau nampaknya belum hilang keletihan, mungkin juga kesan perbezaan waktu di tempat beliau berada sebelum itu.
Saya berikan catatan saya kepada beliau. Beliau mengambil masa yang panjang menelitinya. Hishammuddin seorang yang teliti.
Dia mengulang baca beberapa bahagian. Dia mencadangkan beberapa perubahan pada teks itu dan menambah satu bahagian yang disebutkannya “DBP Yang Bagaimana Pada Masa Hadapan.”
Kami berbincang tentang strategi juga. Saya tidak begitu faham tentang peraturan dan tatacara mesyuarat Kabinet. Saya percaya pada hari Rabu minggu hadapan, Kabinet akan mengesahkan minit mesyuarat tentang pemindahan DBP ke kementerian lain. Maka dengan itu rasmilah DBP tidak lagi di bawah Kementerian Pelajaran.
Saya juga dimaklumkan oleh Hishammuddin bahawa Perpustakaan Negara Malaya (PNM) juga sudah diletakkan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Bagi saya sendiri, PNM masalah yang lain.
Kami bersetuju bahawa tiada masa untuk membawa hal itu kepada Lembaga Pengelola DBP. Kita hanya ada masa lima hari sebelum hari Rabu berikutnya.
Kami juga percaya Lembaga Pengelola DBP pada masa itu tidak akan bersetuju dengan keputusan Kabinet. Tetapi proses pentadbirannya akan mengambil masa.
Surat bantahan akan dibuat dan harus melalui Kementerian Pelajaran (dibaca: Menteri Pelajaran) dan kemudian dibawa ke Perdana Menteri dan ke Jemaah Menteri. Lebih kurang begitu.
Kami sepakat bahawa Hishammuddin mesti menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dengan nota yang kami sediakan. Hishammuddin akan menjelaskan mengapa DBP perlu kekal di bawah Kementerian Pelajaran.
Maknanya apabila hal itu dibangkitkan dalam Kabinet, Pak Lah faham dan moga-moga akan menyokong cadangan balas kami. Saya peringatkan Hishammuddin peri pentingnya beliau meyakinkan Pak Lah tentang hal itu.
Kami berdua akhirnya menyenaraikan tujuh alasan mengapa DBP perlu kekal di bawah Kementerian Pelajaran:
Matlamat memperkasa bahasa kebangsaan, di mana pengguna atau client bahasa yang utama adalah sekolah, universiti dan pelajar di bawah penguasaan Kementerian Pelajaran; DBP bukan ‘institusi warisan’; peranan bahasa dalam pembinaan negara bangsa; kedudukan penting DBP dalam kerangka pertumbuhan industri perbukuan negara; pentingnya DBP dalam konteks tugas penerbitan buku teks di bawah Kementerian Pelajaran; peranan ilmu DBP; dan peranan DBP pada masa hadapan dalam konteks pelbagai cabaran kebahasaan dan era teknologi maklumat.
Saya menyerahkan cereka liut atau floppy disk yang mengandungi bahan tersebut kepada Hishammuddin dan pulang ke rumah. Sebelum saya meninggalkannya, beliau sedang bercakap melalui telefon dengan seseorang untuk menemui Pak Lah secepat mungkin.
Beliau tidak pun bersalaman dengan saya sewaktu saya hendak pulang. Wajahnya kelihatan muram dan sedih. Bayangkan kementeriannya akan kehilangan mahkota yang amat berprestif, berwibawa dan bermakna.
Saya sedang mendaki sebuah gunung di Negeri Sembilan pada pagi Sabtu itu apabila mendapat mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang pegawai Pak Lah.
Hanya setelah turun dari puncak gunung saya dapat membaca teks itu dan membalas panggilan telefon. Pada masa itu sudah tengah hari.
Pak Lah mahu berjumpa pada jam 5 petang. Saya bergegas pulang. Entah bagaimana Lebuh Raya Timur Barat dari selatan ke Kuala Lumpur sesak hari itu. Tidak mungkin saya sempat pulang ke rumah untuk menukar pakaian. Mujurlah saya ada seluar lain dalam kereta dan pemandu saya, Addanan ada baju kemeja dan kasut.
Pak Lah kelihatan relaks di rumahnya petang itu. Saya memohon maaf terlambat 15 minit disebabkan kesesakan di lebuh raya. Di atas meja di hadapannya terdapat nota yang saya siapkan bersama Hishammuddin. Sudah pastilah Hishammuddin telah menemuinya sebelum itu.
“Dalam masa lima minit Johan berikan saya alasan mengapa DBP harus kekal di bawah Kementerian Pelajaran,” kata Pak Lah sambil tersenyum.
Saya yakinkan beliau betapa kompleksnya proses pembinaan bahasa dan sastera. Teras bagi proses itu adalah pengguna utamanya iaitu pelajar dalam sistem pendidikan negara.
Pada masa itu terdapat 1.5 juta kanak-kanak pada peringkat tadika, tiga juta pelajar pada peringkat sekolah rendah dan tiga juta lagi pelajar pada peringkat sekolah menengah.
Bahasa perlu dikembangkan sebagai bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi. Saya juga menyebutkan tentang proses pembinaan jutaan istilah yang selama ini telah dilakukan oleh DBP dalam pelbagai disiplin ilmu.
Saya juga menghujahkan bahawa dengan meletakkan DBP di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan menghantar mesej yang salah pada rakyat:
Kerajaan tidak lagi memandang tinggi bahasa Melayu. Kerajaan menurunkan darjat DBP hanya sebagai sebuah ‘institusi warisan’.
Pak Lah suka hujah itu, dia memotong. “Jadi Johan mahu DBP kekal di tempatnya sekarang?” Saya mencium tangannya. Kami bercakap hal-hal lain selepas itu.
Pada hari Rabu minggu berikutnya Kabinet memutuskan bahawa DBP kekal di bawah Kementerian Pelajaran. Tetapi PNM berpindah di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Saya mendapat mesej ringkas dari Hishammuddin petang itu. “Terima kasih.” Saya jawab, “Terima kasih pada Pak Lah!”
* Tan Sri Johan Jaaffar pernah menjadi petugas DBP selama 15 tahun. Beliau kemudiannya menjadi Pengerusi DBP dari 2006 hingga 2010. Beliau adalah Tokoh Wartawan Negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
