PKR jangan ambil mudah 'amaran' Rafizi

Rafizi dedah hasil kajian 2023–2025 yang menunjukkan kejatuhan sokongan kepada PKR dari semua kaum dan generasi dengan amaran serius terhadap masa depan parti jika tiada tindakan segera.
Rafizi dedah hasil kajian 2023–2025 yang menunjukkan kejatuhan sokongan kepada PKR dari semua kaum dan generasi dengan amaran serius terhadap masa depan parti jika tiada tindakan segera.
A
A
A

Dalam majlis Jelajah HIRUK Zon Melaka dan Negeri Sembilan di Klana Grand Ballroom, Seremban, pada malam 11 Mei lalu, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, membuat pendedahan penting berasaskan kaji selidik mendalam ke atas rakyat Malaysia dari Mac 2023 hingga April 2025.

Kajian bertajuk “Apakah yang sedang difikirkan oleh rakyat? Sentimen terkini dan kesan terhadap PKR” itu mengandungi dapatan mengejutkan dan perlu ditangani segera oleh kepimpinan PKR. Jika tidak, risiko kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya adalah amat tinggi.

PKR DI AMBANG KRISIS SOKONGAN

Rafizi menyatakan bahawa walaupun pengundi Melayu tidak semestinya menyokong Perikatan Nasional (PN), mereka masih tidak yakin dengan Pakatan Harapan (PH).

Dalam tempoh dua tahun memerintah, PH gagal mencapai tahap sokongan Melayu melebihi 30% kecuali pada tempoh “honeymoon” awal pentadbiran. Kini, sokongan Melayu terhadap PKR berada pada paras 27%, jauh daripada 35% minimum yang diperlukan untuk mempertahankan 30–40 kerusi parlimen pada PRU akan datang.

Rafizi berkata: “Selaku Pengarah Pilihan Raya PKR, petua masuk pilihan raya untuk PKR paling kurang PKR kena dapat 35% sokongan undi Melayu baru PKR boleh kekalkan kerusi 30-40 PKR dalam PRU, sekarang baru 27%.

“Lepas dua setengah tahun PKR berdikit-dikit dengan undi Melayu, benar undi parti lain (PN dan BN) menurun (menjadi 48%), tetapi undi atas pagar naik mencanak menjadi 28%, ini boleh ‘swing’ ke mana-mana arah.”

Artikel Berkaitan:

Rafizi
Rafizi

SOKONGAN CINA DAN INDIA: PENURUNAN DRASTIK

Data Rafizi turut menunjukkan kejatuhan dramatik sokongan pengundi Cina dan India terhadap PH, termasuk PKR.

Bagi pengundi Cina sokongan kepada PH jatuh daripada 63% (Mac 2023) kepada hanya 31% (April 2025) manakala 55% langsung tidak menyokong mana-mana parti.

Beliau berkata, kecenderungan tidak turun mengundi kini menjadi realiti, sebagaimana berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, di mana hanya 40% pengundi Cina keluar mengundi berbanding 80% pengundi Melayu, menyebabkan calon PH kalah.

Rafizi memberi amaran: jika trend ini berterusan, kerusi campuran akan berubah menjadi kerusi majoriti Melayu, menghapuskan kelebihan PH di kawasan bandar.

Ujar beliau: “Kalau tengok kepada sokongan pengundi Cina, bukan sahaja kita patut bimbang, DAP patut bimbang. Kalau tengok beberapa PRK terdekat sekitar 40% pengundi Cina keluar mengundi berbanding pengundi Melayu yang paling kurang 70% lebih.

“Apa kesannya kepada kita sebagai parti yang bertanding di kerusi campuran bila pengundi Cina akibat dia merasa jauh daripada PH dan PKR dia tak keluar mengundi? Kesannya ialah hampir semua kerusi campuran kita tidak lagi jadi kerusi campuran pelbagai kaum, tapi dia akan jadi kerusi Melayu majoriti, dan kita akan kalah.”

Bagi pengundi India pula sokongan terhadap PH menjunam daripada 69% pada Mac 2023 kepada 31% pada April 2025 dengan 55% menyatakan tidak menyokong mana-mana parti. Mereka kini tidak lagi sekadar bosan, malah rasa marah dan terpinggir.

Rafizi menjelaskan: “Undi India, saya tak tunjuk pun semua tahu apa yang berlaku di bawah. Pengundi Cina dia rasa “aku dah bosan tak nak turun”, pengundi India semakin ramai yang rasa marah, rasa mereka dipinggirkan, dan ini bahaya kepada PKR.”

GEN Z DAN MILLENNIAL: PILIH PAS BUKAN PH

Dapatan paling mengejutkan datang daripada pengundi muda, iaitu Gen Z (18–27 tahun) dan Gen Millennial (28–44 tahun). Kumpulan ini lebih mempercayai Pas berbanding PKR dalam menangani isu rasuah:

Gen Z: Pas 29% vs PKR 8% Millennial: Pas 26% vs PKR 21%

Ini selari dengan trend nasional bahawa rakyat kini melihat Pas sebagai parti paling bersih dan diyakini dalam memerangi rasuah, mengatasi PKR buat kali pertama dalam sejarah. Tambah malang, isu rasuah kini menjadi kritikan nombor satu terhadap kerajaan, naik daripada 16% (November 2023) kepada 31% (April 2025) yang tidak berpuas hati.

Sebaliknya, isu ekonomi — yang sebelum ini menjadi kelemahan utama — menurun sebanyak 33%, menunjukkan rakyat tidak lagi melihat ekonomi sebagai isu utama. Namun ini tidak memberi kelebihan kepada PKR kerana kepercayaan terhadap keupayaan memerangi rasuah pula semakin luntur.

PKR HILANG TARIKAN, PAS SEMAKIN DIMINATI

“Kita sudah jadi parti orang tua,” kata Rafizi, menyedari bahawa PKR kini hanya relevan di kalangan Gen X (45–59 tahun) dan Boomer (60 tahun ke atas). Malangnya, dalam PRU akan datang, Gen Z dan Millennial membentuk lebih separuh pengundi berdaftar — dan mereka lebih cenderung kepada Pas yang dilihat lebih bersih, konsisten dan berani dalam menyuarakan isu-isu rakyat.

Rafizi berkata lagi: “Kekuatan kita ada dua, kita diyakini oleh rakyat sebelum ini sebab kita boleh menguruskan ekonomi dengan lebih baik, dan satu lagi sebab kita dilihat lebih bersih daripada parti lain, oleh itu kita diyakini untuk melawan rasuah dengan lebih baik.

“Tetapi cuba lihat apa yang berlaku dari November 2023 ke April 2025. Dalam tempoh satu setengah tahun sebenarnya rakyat di luar tidak bersetuju kalau kita kata bahawa kita telah menangani rasuah dengan lebih baik. Yang tidak bersetuju dengan pengurusan ekonomi hanya 18% sahaja, tetapi yang kata “saya tak suka kerajaan ini kerana ia tak menguruskan rasuah dengan baik” ia sudah jadi faktor nombor satu yang orang tak bersetuju dengan kerajaan, ia sudah jadi 31% April 2025 dari 16% pada November 2023.”

Jelas Rafizi: “Isu rasuah makin menjadi bahan kritikan dan ia disahkan bila kita tanya rakyat parti mana yang paling kamu percayai untuk menangani gejala rasuah di negara ini, majoriti mereka menjawab Pas, walaun boleh bertepuklah, 'but we need to call a spade a spade'.

“Ada benda yang pimpinan Pas buat yang diterima oleh rakyat dan saya tidak terkejut kerana dia akan kata paling kurang Pas tak macam itu, bila dibandingkan pimpinan kita ini, jadi kalau ditengok Gen Z yang rasa Pas boleh buat lebih baik 29% tiga kali ganda dengan kita 8%.”

RAFIZI: PEMIMPIN BERSTRATEGI BERDASARKAN DATA

Apa yang membezakan Rafizi dari pemimpin lain dalam PKR ialah beliau bersuara dan merangka strategi berdasarkan data dan sains politik, bukan retorik semata-mata. Daripada terus menyedapkan hati dengan angan-angan kemenangan, Rafizi menyedarkan parti bahawa PKR sedang menghadapi krisis kepercayaan rakyat.

Beliau juga menegaskan bahawa hingga kini tiada pemimpin PKR yang tampil dengan strategi jelas untuk menawan kembali hati pengundi atas pagar, Cina, India dan generasi muda. Jika pendedahan Rafizi ini tidak dipandang berat, masa depan PKR bukan sahaja dalam bahaya malah keruntuhan total dalam PRU akan datang adalah kemungkinan besar.

PKR tidak boleh terus selesa dengan kedudukan sekarang. Kepimpinan perlu bertindak segera dan drastik, membina semula naratif integriti, mendekati pengundi muda serta menggerakkan jentera dengan strategi data-driven seperti yang dibawa Rafizi.

Sokongan kepada beliau sebagai pemimpin masa depan bukan hanya perlu tetapi ia wajib jika PKR mahu terus relevan dan kekal sebagai parti pemerintah.

*** Muhammad Afifi Abdul Razak adalah penganalisis politik tempatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!