Kakak maut ditetak adik kandung akibat berebut harta pusaka

Polis tangsel bongkar kes bunuh guna celurit akibat berebut harta pusaka di Pamulang. - Foto: Agensi
Polis tangsel bongkar kes bunuh guna celurit akibat berebut harta pusaka di Pamulang. - Foto: Agensi
A
A
A

TANGERANG SELATAN – Polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun yang dipercayai membunuh kakak kandungnya dalam kejadian di Jalan Masjid Darusallam Bambu Apus, Pamulang, Tangerang Selatan, Banten, Indonesia pada 30 April lalu.

Ketua Polis Daerah (Kapolres) Tangerang Selatan, AKBP Victor DH Inkiriwang berkata, suspek dikenali sebagai F atau W ditahan selepas disyaki membunuh mangsa, N, 65, susulan konflik keluarga berkaitan pembahagian harta pusaka.

“Hasil siasatan mendapati motif pembunuhan berpunca daripada pertikaian keluarga mengenai harta warisan,” katanya dalam sidang media pada Sabtu.

Menurutnya, kejadian bermula apabila suspek menyembunyikan senjata tajam jenis celurit di balik pakaiannya.

Ketika mangsa menunggang motosikal melalui kawasan tersebut, suspek mengejar dan menghentikannya di hadapan sebuah kedai bahan binaan sebelum mengacukan celurit lalu menyerang mangsa.

“Mangsa cuba mempertahankan diri dengan mengambil sebatang kayu kaso dan mengarahkan suspek membuang senjata tajam itu,” katanya.

Namun, suspek tidak mengendahkan arahan tersebut dan mangsa kemudiannya bertindak memukul suspek menggunakan kayu hingga mengenai bahu kirinya namun kayu itu patah.

“Suspek membalas dengan melibas celurit ke arah mangsa yang cuba mengelak, namun libasan terkena bahu kiri mangsa.

“Suspek kemudian mendekati mangsa dan melibas sekali lagi celurit ke tubuh mangsa bagi memastikan mangsa tidak lagi bergerak,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Bahagian Biologi Serologi/DNA Puslabfor Bareskrim Polri, Kompol Irfan Rofik yang turut hadir berkata, ujian saintifik mengesahkan darah pada celurit itu sepadan dengan darah yang terdapat pada pakaian dan barangan milik mangsa.

“Celurit yang digunakan adalah senjata yang dipakai suspek kerana terdapat keserasian antara darah di celurit dengan darah pada pakaian mangsa,” katanya. – CNN Indonesia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!