Jalan sempit, susah parkir punca bas pelancong elak singgah Jalan Masjid India

KUALA LUMPUR - Jalan sempit dan parkir terhad didakwa punca Jalan Masjid India kian suram didatangi bas pelancong.
Masalah itu susulan kesukaran menurunkan penumpang dan memarkir bas di kawasan tumpuan beli-belah musim perayaan itu.
Kini syarikat pelancong didakwa lebih tertarik untuk membawa pelancong ke Kenanga Mall yang disediakan kemudahan serba lengkap.
Seorang peniaga, Imran Indra Yusman, 30-an berkata, pihaknya berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat menyediakan kemudahan sama di Jalan Masjid India selain membantu mempromosikan kembali kawasan itu kepada pelancong.

"Rata-rata peniaga di sini mengeluh apabila masalah akses jalan menyebabkan orang ramai dan pengguna kenderaan persendirian susah nak datang ke sini.
"Orang beralih ke Kenanga Mall sebab ada banyak kemudahan dan nak parkir kenderaan pun senang berbanding di Masjid India kemudahan tersebut tidak ada," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, kemudahan parkir berbayar agak jauh selain sistem pembayaran tanpa tunai dan ketiadaan tempat tambah nilai membuatkan pengguna tawar hati untuk ke sana.

"Dulu dan sekarang sangat berbeza, kalau dulu orang datang berpusu-pusu cari baju tetapi sekarang sudah kurang disebabkan ketiadaan promosi.
"Apatah lagi dengan kejadian tanah jerlus lagi memberikan kesan orang takut nak datang sini jadi kena fikirkan cara untuk menaikkan semula Jalan Masjid India," katanya.

Selain itu katanya, kebanjiran warga Bangladesh dan Pakistan beroperasi di sana turut menghilangkan identiti Malaysia di Masjid India.
"Terlalu ramai dengan orang luar dan boleh dihitung berapa peniaga tempatan, jadi saya harap aspek penguatkuasaan PATI (pendatang asing tanpa izin) dapat ditingkatkan dan berterusan.
"Saya juga harap bangunan lama di Jalan Masjid India ini diperindah dengan pencahayaan dan lampu kerana pada waktu malam keadaan di sini gelap, jam 7 malam keadaan dah lengang jadi orang takut nak ke sini," katanya.
Peniaga, Sahmar Zubir, 68, berkata, beliau berharap jalan di hadapan Wisma Yakin dibuka kepada kenderaan susulan kesukaran akses kepada pelanggan yang datang menggunakan kenderaan sendirian.

"Dulu jalan depan Wisma Yakin boleh dilalui kenderaan kemudian dijadikan tapak bazar penjaja yang terbakar sekitar 2018.
"Kawasan itu kemudian dijadikan ruang pejalan kaki dan landskap diperindah dengan penyediaan kerusi untuk riadah," katanya.
Bagaimanapun Pengerusi Peniaga Wisma Yakin itu berkata, langkah diambil DBKL itu bukan membantu merancakkan ekonomi peniaga sebaliknya berdepan masalah kacau ganggu.

"Tempat ini menjadi tumpuan gelandangan, ada yang mabuk dan juga port penagih dadah yang menyebabkan orang takut untuk datang ke sini.
"Kalau hari Jumaat ramai yang duduk minta sedekah memberi imej buruk kepada negara," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat meminta Kementerian Wilayah Persekutuan melalui DBKL untuk meninjau kawasan perniagaan yang usang, uzur dan memerlukan penambahbaikan di Jalan Masjid India.

Anwar berkata, deretan kedai dan gerai termasuk yang telah bertapak sekian lama di kawasan berkenaan adalah kawasan tarikan utama pelancong di ibu kota yang perlu diambil perhatian.
Beliau berkata demikian sewaktu membuat tinjauan di sana selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid India yang turut dihadiri kira-kira 5,000 jemaah.
Sementara itu, Setiausaha Bazar Melayu Moden Jalan Melayu, Azlinda Mohd Sharif, 50, berkata, peniaga dimaklumkan DBKL mempunyai perancangan untuk menaik taraf kawasan itu namun tidak diketahui bila tempoh pelaksanaan.

Pelaksanaan itu katanya, dapat memberikan lebih keselesaan kepada peniaga melalui konsep kios yang lebih tersusun dan cantik.
"Kami sebagai peniaga sambut baik usaha tersebut kerana ini mata pencarian kami. Sekarang pun kebanyakan pengunjung terdiri dalam kalangan pekerja sekitar kawasan ini dikelilingi syarikat dan berhampiran stesen LRT.
"Cuma apabila siap naik taraf nanti, harap kerajaan boleh bantu untuk mempromosi Jalan Masjid India sebagai salah satu tarikan pelancong seperti Dataran Merdeka dan Pasar Seni," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


