Urusan pembelian tanah masjid dimulakan secepat mungkin - JAIPk

Laporan Sinar Harian mengenai Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai. Gambar kecil: Harith Fadzilah
Laporan Sinar Harian mengenai Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai. Gambar kecil: Harith Fadzilah
A
A
A

IPOH - Pihak Berkuasa Agama Islam Perak akan memulakan proses pembelian tanah bernilai RM1.8 juta untuk Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai secepat mungkin.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, selain JAIPk yang membantu dalam urusan tersebut, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAlPk) juga akan bertindak menguruskan pembelian.

Menurutnya, selepas selesai pembelian tersebut, urusan pindah milik tanah tersebut ke atas nama MAIPk sebagai Pemegang Amanah Tunggal Wakaf akan turut dilaksanakan.

"Sebagai langkah awal, MAIPk telah mengadakan Mesyuarat Menguruskan Pembelian Tanah dan Halatuju Penggunaan Dana Kutipan Masjid Ar Ridzuan, Alor Pongsu pada 9 Mei 2025 (Jumaat).

"Urusan pembelian akan segera dilaksanakan setelah menerima surat rasmi daripada pihak jawatankuasa kariah masjid kepada MAIPk untuk mengambil alih sepenuhnya urusan pembelian tanah tersebut mengikut prosedur teknikal dan undang-undang," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Harith Fadzilah berkata, MAIPk juga akan mendapatkan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Perak serta Pejabat Daerah dan Tanah Kerian bagi melancarkan serta memberi keutamaan kepada urusan berkaitan.

Sementara itu, mengenai jumlah sumbangan diterima dari masjid-masjid seluruh Perak yang ingin menerus sumbangan kepada Masjid Ar-Ridzuan, beliau memaklumkan perkara itu sedang diusahakan.

"Pihak JAIPk dalam usaha mendapatkan jumlah sebenar kutipan derma yang telah dijalankan oleh masjid dan surau diri Jumaat seluruh Perak.

"Jumlah tersebut akan diperoleh setelah semua masjid yang terlibat memindahkan kutipan masing-masing ke akaun Tabung Bencana dan Kemanusiaan selewatnya Selasa depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 5 Mei lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan bahawa semua masjid di Perak akan menyumbang melalui kutipan mingguan Jumaat mulai 6 Mei kepada Masjid Ar-Ridzuan bagi membantu menebus kembali tanah yang telah terjual.

Susulan itu, JAIPk telah mengedarkan surat kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan Surau Diri Jumaat (SDJ) di Perak bertajuk Selamatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu, Bagan Serai bagi tujuan sumbangan tersebut.

Menerusi surat tersebut, JAIPk menyarankan supaya masjid-masjid dan SDJ di negeri ini menyediakan tabung khas untuk kutipan pada 9 dan 16 Mei 2025.

Pihak masjid dan surau terbabit akan menyalurkan kutipan itu kepada akaun yang telah disediakan oleh JAIPk atas nama Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan, dengan nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad 08013010091983.

Sebelum ini, media melaporkan tanah wakaf masjid berkenaan telah berpindah milik kepada seorang individu bukan Islam tanpa pengetahuan pihak pengurusan masjid.

Pemilik tanah memberikan dua pilihan kepada pihak masjid iaitu membeli semula tanah tersebut atau merobohkan semua struktur sedia ada di atasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!