Masjid Ar-Ridzuan: Inilah jihad yang sebenarnya

Pendedahan media mengenai status tanah wakaf yang menjadi tapak Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Perak amat mengejutkan namun kemudiannya menarik perhatian ramai.
Pendedahan media mengenai status tanah wakaf yang menjadi tapak Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Perak amat mengejutkan namun kemudiannya menarik perhatian ramai.
A
A
A

PENDEDAHAN media mengenai status tanah wakaf yang menjadi tapak Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Perak amat mengejutkan namun kemudiannya menarik perhatian ramai.

Ia selepas tanah berkeluasan 0.61 hektar itu dijual oleh waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid, dan pemilik baharu yang juga seorang bukan Islam menetapkan harga sebanyak RM1.8 juta untuk dibeli semula.

Persoalan kenapa waris pewakaf menjualnya kepada orang bukan Islam bukanlah isu utama kerana secara adatnya, proses jual beli itu sudah pasti kerana wang dan ia berlaku sejak 2015 lagi.

Kejayaan untuk seluruh rakyat Malaysia mengumpul lebih RM2 juta dalam tempoh 36 jam membuktikan kita boleh berpadu tenaga, memainkan peranan untuk menyelamatkan masjid berkenaan, termasuk lebih 30 pusara yang ada di kawasan itu.

Secara umumnya, inilah jihad yang menjadi contoh kepada umat Islam bukan saja di kawasan Alor Pongsu ini, malah di seluruh negara.

Tidak perlu slogan berkobar-kobar, cukup dengan niat berjuang ke jalan ALLAH, semua pihak membuktikan bahawa jumlah yang besar bukanlah halangan dan ia boleh dikutip dalam masa beberapa hari jika kita semua memahami konsep bersedekah atau infak yang sebenar.

Inilah ketikanya, seperti yang selalu kita lihat, isu agama dibahas dengan panjang lebar oleh pejuang di kedai kopi, pelbagai kumpulan WhatsApp, netizen mulia serta jemaah masjid yang mengupas dari segenap sudut dengan begitu terperinci sekali.

Kali ini, dengan satu langkah mudah sama ada berkongsi mengenai keperluan mendesak masjid ini di media sosial, atau menjadi individu yang menyumbang dana serendah RM1, masalah itu memang boleh diselesaikan.

Dengan matematik mudah, dianggarkan kira-kira 16 juta rakyat Malaysia adalah beragama Islam dan jika 10 peratus daripadanya menyumbang RM1, maka jumlah terkumpul sudah hampir pasti dapat menyelamatkan Masjid Ar-Rizwan ini.

Artikel Berkaitan:

Itu belum dikira sumbangan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat atau sesiapa saja yang memilih untuk bertanggungjawab dalam isu yang menyentuh hati ini. Syukur, kita semua sudah buktikan, kita mampu lakukan.

Dengan semangat perjuangan demi agama yang kita ada, hanya dalam tempoh tiga hari, jumlah terkumpul melebihi daripada yang diperlukan kerana ini masjid kita.

Kalau bukan kita yang akan menyelamatkannya, siapa lagi?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!