Perokok aktif, lelaki warga emas berisiko dijangkiti tibi

Dr Rozaini (kiri) ketika melancarkan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang di Bukit Mertajam pada Sabtu.
Dr Rozaini (kiri) ketika melancarkan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang di Bukit Mertajam pada Sabtu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Perokok aktif dan lelaki warga emas berusia 60 tahun ke atas dikenal pasti sebagai kumpulan paling berisiko dijangkiti penyakit tuberkulosis (tibi) berikutan tahap imuniti badan yang semakin menurun.

Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr Rozaini Mat Shah berkata, imuniti rendah akibat faktor usia dan gaya hidup tidak sihat menyebabkan golongan berkenaan mudah dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit termasuk tibi.

"Golongan lelaki warga emas khususnya yang merokok didapati sangat mudah terdedah kepada jangkitan tibi. Tahap imuniti badan yang rendah menjadi penyumbang utama kepada jangkitan ini," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Dr Rozaini (dua dari kiri) melawat gerai pameran yang diadakan sempena Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang pada Sabtu.
Dr Rozaini (dua dari kiri) melawat gerai pameran yang diadakan sempena Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang pada Sabtu.

Dr Rozaini berkata, tibi merupakan antara lima penyakit berjangkit tertinggi di negeri ini selain penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), keracunan makanan serta demam denggi.

Bagaimanapun katanya, insiden kes dan kematian akibat tibi di Pulau Pinang menunjukkan penurunan pada tahun lalu hasil pelaksanaan kempen kesedaran yang berterusan.

"Sebanyak 1,273 kes baharu dan berulang tibi direkodkan di Pulau Pinang pada 2024 berbanding 1,303 kes pada 2023, menunjukkan penurunan 2.3 peratus.

"Jumlah kematian juga menurun kepada 125 kes pada 2024 berbanding 156 kes pada tahun sebelumnya," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Rozaini berkata, usaha membendung penularan tibi diperkasakan melalui rawatan berkesan serta pemantapan ujian saringan di klinik kesihatan dan hospital.

Artikel Berkaitan:

"Kesedaran dan pendidikan kesihatan secara menyeluruh adalah kunci utama dalam menangani penyakit ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!