Kereta dipandu warga emas terbalik dalam tali air

Kereta yang dipandu Siti Fatimah terbalik selepas terbabas ke dalam tali air di Kampung Derdap, Limbat pada Sabtu. Foto Bomba
Kereta yang dipandu Siti Fatimah terbalik selepas terbabas ke dalam tali air di Kampung Derdap, Limbat pada Sabtu. Foto Bomba
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang warga emas berusia 74 tahun berjaya diselamatkan penduduk kampung selepas kereta yang dipandunya terbabas ke dalam tali air dalam kejadian di Kampung Derdap, Limbat pada Sabtu.

Ketika kejadian, Siti Fatimah Ismail dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Cabang Empat, Limbat.

Jiran warga emas itu, Hamimah Abd Hamid, 24, berkata, ketika kejadian, dia baru pulang dari rumah ibu saudaranya yang terletak tidak jauh dari kediaman dan terlihat sebuah kereta terbalik dalam lumpur di dalam tali air.

"Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya menghubungi bomba pada jam 3.48 petang melalui talian 999, manakala beberapa pemuda cuba membuka pintu kereta yang dikunci dari dalam.

"Alhamdulillah, mereka berjaya mengeluarkan pemandu selepas memecahkan cermin pintu kereta dan mak cik itu dikatakan mengalami luka di bahagian lengan," katanya ketika dihubungi.

Menurut Hamimah, jirannya itu tidak pernah memandu laju dan dia sendiri tidak menyangka kejadian tersebut boleh berlaku.

"Syukur mak cik Siti Fatimah selamat walaupun kenderaannya mengalami kerosakan," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II), Faizul Mohd Fauz berkata, mangsa yang memandu Proton Wira Aeroback telah dibantu oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi kejadian.

Beliau memaklumkan, bomba menerima panggilan pada jam 3.53 petang dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh segera digerakkan ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Kami tiba di lokasi 15 minit kemudian dan mendapati sebuah kereta telah terjunam ke dalam tali air. Warga emas itu bagaimanapun berjaya diselamatkan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!