Pakistan lancar operasi 'Bunyanun Marsoos' balas serangan India

Sebuah rakaman yang dipercayai dari Pangkalan Udara Nur Khan di Rawalpindi, Pakistan kini tular, menunjukkan saat-saat kemudahan ketenteraan itu menjadi sasaran serangan dipercayai dilancarkan oleh India hingga mencetuskan serangan balas Pakistan.-Agensi
Sebuah rakaman yang dipercayai dari Pangkalan Udara Nur Khan di Rawalpindi, Pakistan kini tular, menunjukkan saat-saat kemudahan ketenteraan itu menjadi sasaran serangan dipercayai dilancarkan oleh India hingga mencetuskan serangan balas Pakistan.-Agensi
A
A
A

ISLAMABAD – Tentera Pakistan memaklumkan bahawa mereka telah melancarkan operasi ketenteraan dikenali sebagai Operasi Bunyanun Marsoos sebagai tindakan balas terhadap apa yang didakwa sebagai pencerobohan ketenteraan oleh India.

“Pakistan bertindak balas!” menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh tentera negara itu, sambil menjelaskan bahawa nama operasi tersebut diambil daripada satu ayat al-Quran yang membawa maksud “tembok yang tidak dapat ditembusi”.

Menurut kenyataan itu, beberapa sasaran penting India telah diserang, termasuk tapak simpanan peluru berpandu BrahMos di kawasan Bias. Difahamkan, serangan lain turut sedang dijalankan ke atas beberapa lokasi strategik India.

Peluru berpandu BrahMos merupakan peluru berpandu jelajah supersonik jarak jauh yang terkenal dengan ketepatan dan kepantasan tinggi.

Tentera Pakistan turut mendakwa telah menyerang Pangkalan Udara Pathankot dan Stesen Tentera Udara Udhampur milik India. Dakwaan tersebut menyatakan bahawa tindakan itu diambil sebagai “balasan setimpal” terhadap serangan yang dilancarkan oleh India ke atas beberapa pangkalan udara Pakistan.

Sementara itu, Televisyen Negeri Pakistan (PTV) melaporkan bahawa kerajaan telah memulakan tindak balas ketenteraan susulan dakwaan bahawa India telah melancarkan peluru berpandu ke atas beberapa pangkalan udara milik Pakistan, termasuk Pangkalan Udara Nur Khan, yang terletak berhampiran ibu negara Islamabad.

Jurucakap tentera, Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, memaklumkan bahawa sebahagian besar peluru berpandu tersebut berjaya dipintas dan tidak menyebabkan kerosakan serius.

“India menyerang Pangkalan Udara Nur Khan, Shorkot dan Murid. Kesemuanya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara kita,” katanya dalam siaran langsung di televisyen negeri. Beliau turut mendakwa bahawa India juga telah melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke wilayah Afghanistan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Pakistan menutup sepenuhnya ruang udaranya kepada semua penerbangan awam bermula jam 3.15 pagi Sabtu waktu tempatan dan dijangka kekal ditutup sehingga tengah hari.

Sementara itu, komuniti antarabangsa menyuarakan kebimbangan. Menteri Luar negara-negara G7 dan Kesatuan Eropah menggesa kedua-dua negara supaya segera meredakan ketegangan dan mengelakkan sebarang eskalasi ketenteraan yang boleh mengancam kestabilan serantau.

“Kami menyeru kepada penyelesaian diplomatik secara langsung dan damai antara kedua-dua pihak,” menurut kenyataan bersama mereka.

Setakat ini, kerajaan India belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan atau menafikan dakwaan Pakistan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!