Normalia 'puas' memanjat bangunan tinggi

Normalia sempat merakamkan momen istimewa ketika melakukan kerja sebagai juruteknik akses tali di Menara Berkembar Petronas.
Normalia sempat merakamkan momen istimewa ketika melakukan kerja sebagai juruteknik akses tali di Menara Berkembar Petronas.
A
A
A

SHAH ALAM - Dalam bidang kerja yang sering dilabel sebagai lasak dan berisiko tinggi, seorang wanita muda membuktikan semangat, kemahiran serta keberanian mampu mengatasi segala batasan jantina.

Normalia Sidek, 33, mencipta kelainan apabila memilih kerjaya sebagai juruteknik akses tali yang merupakan satu profesion memerlukan keberanian luar biasa serta disiplin tinggi.

Normalia ketika menjalankan tanggungjawab sebagai juruteknik akses tali.
Normalia ketika menjalankan tanggungjawab sebagai juruteknik akses tali.

Menurutnya, biarpun bidang tersebut kebiasaan didominasi lelaki, dia percaya dengan kemahiran, dedikasi dan prestasi yang baik, kaum hawa juga mampu berjaya dalam kerjaya berkenaan.

"Saya mula ceburi bidang ini lapan tahun lalu selepas mengikuti kursus asas akses tali. Walaupun ramai yang terkejut, saya yakin ini bidang yang sesuai dengan jiwa, memberi kepuasan sebenar, mencabar, teknikal dan tidak membosankan.

"Sebenarnya saya bermula dengan hobi. Sejak remaja hobi saya memanjat tebing. Dari situ saya tanam cita-cita untuk bekerja dalam bidang yang memberi peluang luas untuk saya terus menikmati hobi memanjat itu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Normalia dan suami.
Normalia dan suami.

Bercerita lanjut mengenai kerjayanya, dia yang mesra disapa Maya berkata, juruteknik akses tali tidak sekadar membersihkan tingkap bangunan pencakar langit semata-mata.

Ujarnya yang berasal dari Negeri Sembilan, setiap kerja di bangunan tinggi yang tidak dapat dicapai dan dilakukan oleh jentera seperti gondola atau skylift memerlukan tenaga dan kepakaran juruteknik akses tali sepertinya.

Artikel Berkaitan:

"Selalu orang ingat kerja tergantung pakai tali ini cuci tingkap je. Tapi sebenarnya tugas juruteknik akses tali ini luas dan banyak cabangnya. Memang memanjat Menara Berkembar Petronas antara impian saya sejak bekerja dalam bidang ini dan alhamdulillah ia tercapai.

"Saya sendiri sentiasa meneroka cabang baharu dan mengambil sijil pelbagai bidang dalam lapangan ini sebab terfikir, sampai bila nak cuci bangunan, menukar lampu dan memasang bendera," ujarnya yang berharap untuk menawan bangunan Burj Khalifa suatu hari nanti.

Menurut Maya, kerjaya di puncak bangunan tinggi itu kini menjadi punca pendapatan lumayan buatnya dan membawa dirinya mengembara ke serata dunia.

Ujarnya, demi merasai kepuasan bekerja menyebabkannya dia nekad mencari peluang mendapatkan lesen dalam bidang lasak itu.

"Kerjaya ini bukan saja memberikan kepuasan, tetapi juga sebagai tempat bertemu jodoh dengan suami saya, Abdul Hazim Abdul Rashid. Kini saya juga sebagai ibu kepada seorang anak lelaki berusia dua tahun," katanya.

Selain memanjat bangunan pencakar langit, Maya juga terbabit dalam bidang penyelenggaraan paip di platform pelantar minyak di pesisir pantai dan laut dalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!