Mahkamah tetapkan 31 Mac keputusan kes wanita dakwa isteri Samy Vellu

Rayer (kiri) bersama Meeriam ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
Rayer (kiri) bersama Meeriam ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menetapkan 31 Mac ini bagi keputusan permohonan menggantung perintah interim seorang wanita yang mendakwa isteri kepada bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu.

Permohonan itu dibuat anak lelaki Samy Vellu, Datuk Seri S Vell Paari yang diwakili peguam, Datuk David Matthew bagi membolehkan mahkamah mendengar keputusan saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menentukan tahap kesihatan mental bekas Menteri Kerja Raya itu.

Pada Mac lalu, Meeriam Rosaline Edward Paul, 59, memfailkan permohonan interim di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi mendapatkan akses tanpa syarat ke atas Samy Vellu selain memohon mahkamah mengeluarkan perintah bayaran nafkah bulanan sebanyak RM25,000.

David ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya mempunyai sebab yang kukuh dalam membuat permohonan menggantung prosiding berkenaan.

"Sepatutnya kita perlu menanti tahap kemampuan mental Tun dahulu yang akan ditentukan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," katanya.

Peguam, RSN Rayer dan Ramesh Sivakumar yang mewakili Meeriam berkata, pihak mereka tidak bersetuju prosiding itu ditangguhkan kerana mempunyai bukti menunjukkan Samy Vellu berkeupayaan dari segi mental.

Katanya, merujuk kepada gambar-gambar dalam afidavit yang dikemukakan kepada mahkamah, menunjukkan Samy Vellu ada menghadiri beberapa acara umum sejak tahun lalu.

"Gambar-gambar itu menunjukkan beliau hadir ke majlis pengebumian, konvokesyen, Kongres MIC serta turut meraikan sambutan Thaipusam, bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Dengan ini setahu kita, beliau berada dalam keadaan sangat baik dan mempunyai keupayaan mental yang baik," katanya.

Hakim Datuk Hashim Hamzah kemudiannya menetapkan 31 Mac ini bagi keputusan itu selepas prosiding secara tertutup berlangsung selama satu jam.

Pada 2 Disember lalu, Vell Paari sebagai plaintif memfailkan saman pemula memohon siasatan diadakan untuk menentukan sama ada bapanya mempunyai masalah mental serta tidak berupaya untuk menguruskan diri dan hal ehwal dirinya.

Beliau berkata, bapanya didiagnosis menghidap dimensia akibat penyakit Alzheimer sejak dua tahun lalu.