Pengemudi bot Malaysia dihukum penjara, sebat di Singapura

Seorang pengemudi bot warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara empat bulan enam minggu serta tiga sebatan oleh Mahkamah Daerah di Singapura selepas ditahan bulan lepas kerana memasuki perairan Singapura secara haram. Foto hiasan
Seorang pengemudi bot warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara empat bulan enam minggu serta tiga sebatan oleh Mahkamah Daerah di Singapura selepas ditahan bulan lepas kerana memasuki perairan Singapura secara haram. Foto hiasan
A
A
A

SINGAPURA – Seorang pengemudi bot warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara empat bulan enam minggu serta tiga sebatan oleh Mahkamah Daerah di sini selepas ditahan bulan lepas kerana memasuki perairan Singapura secara haram, menurut laporan media tempatan.

Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan bahawa Muhammad Rasidi A Razak, 28, mengaku bersalah atas satu pertuduhan memasuki Singapura secara haram dan satu lagi pertuduhan mengemudi bot secara melulu sehingga membahayakan nyawa.

Satu lagi pertuduhan, iaitu gagal memberhentikan bot selepas diarahkan pihak polis, turut diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Dalam kejadian yang berlaku pada 18 April lepas, Muhammad Rasidi membawa dua penumpang – juga rakyat Malaysia – untuk memancing dari jeti di Sungai Melayu, Johor sebelum menuju ke kawasan laut berhampiran Puteri Harbour.

Beliau kemudiannya membawa botnya memasuki perairan berhampiran Pulau Sarimbun, tempat bot itu dikesan oleh anggota Polis Pengawal Pantai Singapura (PCG) yang sedang menjalankan rondaan.

Tertuduh cuba melarikan diri ke arah Malaysia, menyebabkan anggota PCG mengejarnya.

Semasa pengejaran, bot Muhammad Rasidi berlanggar dengan kapal PCG sebanyak dua kali. Beliau hanya berhenti selepas anggota PCG mengeluarkan pistol dan memberi amaran supaya menghentikan bot serta mematikan enjin.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan sama ada dua penumpang terbabit turut didakwa atas sebarang kesalahan, menurut laporan The Straits Times. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!