Saya tidak dipaksa sesiapa keluarkan cek, kata saksi ke-42

Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. -Foto Bernama
Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi diberitahu saksi, T Rajan bahawa dia ada mengeluarkan lima keping cek Maybank dengan jumlah keseluruhan RM366,000.

Saksi pendakwaan ke-42 perbicaraan membabitkan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cek berkenaan diserahkan kepada seorang individu bernama Omar Ali di sebuah lokasi pengurup wang Fahrenheit, Jalan Bukit Bintang.

Rajan memberitahu mahkamah, dia tidak mengenali penerima lima keping cek kerana belum pernah berurusan dengan individu itu.

Menurut Rajan lagi, pengeluaran cek tersebut dibuat atas dasar pertukaran kepada mata wang Dolar Australia berjumlah lebihi A$90,000.

Menurutnya jika melibatkan jumlah yang banyak, maka pengurup wang akan menyerahkan dalam bentuk cek dan bukan wang tunai.

Bagaimanapun Rajan mengakui tidak mengingati tarikh sebenar cek tersebut dikeluarkan.

Rajan ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong hari ini turut memberitahu mungkin cek itu dikeluarkan sekitar Jun atau Julai 2016 tetapi dia tidak mengingati tarikh yang tepat.

Bagaimanapun, Rajan bersetuju dengan soalan pihak pembelaan berhubung cek tersebut untuk bayaran pendahuluan pembelian sebuah rumah di Australia.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hariss Ong, yang bertanya adakah dia (Rajan) menerima arahan dari sesiapa, namun menurutnya dia tidak menerima arahan daripada sesiapa untuk mengeluarkan lima keping cek berkenaan.

“Saya hanya mengisi tarikh, jumlah yang perlu dibayar dan menurunkan tandatangan di atas cek-cek dan kemudian, cek diserahkan dengan jumlah, tarikh dan ditandatangan.

“Itu sahaja. Selebihnya, saya tidak tahu,” katanya kepada mahkamah.

Ketika disoal mengenai Lewis & Co, Rajan dengan tegas memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengenali Lewis & Co.

“Saya tidak kenal siapa ini Lewis & Co. Saya tidak pernah berurusan dengan Lewis & Co.

“Saya cuma tahu tentang Lewis & Co apabila dimaklumkan oleh pihak bank selepas dua minggu saya mengeluarkan cek.

“Pihak bank ada menghubungi saya dua minggu kemudian untuk mendapatkan kepastian bahawa saya telah mengeluarkan cek,” katanya.

Rajan juga turut menjelaskan, dia tidak pernah bertanya mengenai tujuan cek dikeluarkan kepada Lewis & Co kerana cek-cek tersebut telah diserahkan kepada Omar Ali.

“Bagi saya, tidak perlu untuk bertanya kerana saya dapat wang tunai, saya serahkan cek kepada dia.

“Tidak ada sebab untuk saya bertanya soalan dan tidak timbul rasa syak wasangka,” kata Rajan.

Rajan turut memberitahu mahkamah, bagi jumlah wang yang ditulis melalui lima keping cek itu, dia telah membuat pengeluaran daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya dan dari akaun simpanan sendiri.

Menjawab soalan lain yang dikemukakan Harris Ong, adakah Rajan mengenali tertuduh (Zahid) di dalam mahkamah?

Hariss Ong: Kenal tertuduh (Zahid)

V. Rajan: Kenal dalam akhbar, tiada urusan peribadi

Hariss Ong: Pernah kenal Lewis & Co Clients Account

V. Rajan: Tidak pernah

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 23 Mac depan.