Wanita didakwa tipu ejen pita pelekat, rugi lebih RM170,000

Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth pada Jumaat.
Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth pada Jumaat.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas 28 pertuduhan menipu seorang ejen syarikat pembekal pita pelekat sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM172,985.

Tertuduh, A Puvanesvari, 51, yang merupakan ibu kepada tiga anak, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mengikut pertuduhan, wanita yang kini tidak bekerja itu didakwa memperdayakan mangsa dengan mendakwa wujud projek pembekalan pita pelekat, sekali gus mendorong mangsa menyerahkan wang komisen antara RM1,000 hingga RM19,500 melalui 28 transaksi berasingan.

Transaksi tersebut dilakukan ke dalam empat akaun bank berbeza yang dipercayai dikawal oleh tertuduh antara 26 April hingga 24 Jun tahun lalu di sebuah apartmen di Jalan Bagan Jermal, di sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Namun, peguam, Teh See Khoon merayu jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya mempunyai tiga anak berumur antara 13 hingga 19 tahun selain menghidap penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi.

"Suami tertuduh juga menanggung sepenuhnya perbelanjaan keluarga dengan pendapatan hanya RM3,000 sebulan," kata See Khoon.

Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM28,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 6 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!