Treler hilang kawalan dipercayai punca nahas ragut nyawa ibu, anak

Treler yang dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Treler yang dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
A
A
A

KULAI – [DIKEMAS KINI] Sebuah treler hilang kawalan dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 34.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan sekitar jam 10.15 malam, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, treler yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun itu datang dari arah utara sebelum melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berada di laluan sama.

“Treler berkenaan kemudiannya merempuh besi pembahagi jalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar dua lagi kenderaan, iaitu Toyota Estima dan Mazda.

"Akibat daripada pelanggaran tersebut, dua beranak menaiki Toyota Estima maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala tiga yang lain cedera,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Penghadang besi yang dirempuh treler berkenaan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah Toyota Hilux sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Penghadang besi yang dirempuh treler berkenaan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah Toyota Hilux sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa dua mangsa yang maut merupakan penumpang Estima, iaitu seorang wanita berusia 42 tahun dan anak perempuannya berusia 15 tahun.

Menurutnya, pemandu Estima yang juga suami kepada mangsa bersama dua lagi anaknya masing-masing berusia 42 dan 18 tahun hanya mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Kulai.

“Pemandu treler turut mengalami kecederaan di kaki, manakala enam penumpang Mazda 5 yang terdiri daripada seorang lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan tiga kanak-kanak perempuan dilaporkan selamat.

"Begitu juga lima penumpang Toyota Hilux yang turut melibatkan tiga kanak-kanak perempuan, dilaporkan berada dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Keadaan Toyota Estima yang remuk akibat kemalangan itu.
Keadaan Toyota Estima yang remuk akibat kemalangan itu.

Tambah beliau, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Firdaus Mustaffa di talian 011-26081008 bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!