'Jurunikah' durian jana pendapatan lumayan

Zain menunjukkan kaedah cantuman durian
Zain menunjukkan kaedah cantuman durian
A
A
A

SEREMBAN - Jika tanaman durian mampu menjana pendapatan lumayan, begitu jugalah perkhidmatan sebagai 'jurunikah' raja buah berkenaan.

Permintaan tinggi daripada pekebun yang mahu 'mengahwinkan' pokok durian telah membuka peluang rezeki baharu kepada mereka yang mahir dalam bidang terbabit.

Ini kerana, kaedah tersebut bukan saja mampu mempercepatkan hasil seawal usia pokok lima tahun, malah dapat memberikan baka buah yang lebih berkualiti.

Pengerusi Persatuan Penanam Durian Negeri Sembilan, Datuk Zain Maarof berkata, bagi setiap pokok saiz sederhana yang mahu dikawenkan, biasanya dikenakan caj antara RM30 hingga RM50, manakala untuk pokok dewasa boleh mencecah RM300.

"Harga itu bergantung kepada kitalah, tapi itulah anggaran caj yang biasanya dikenakan kepada pekebun.

"Perkhidmatan kita adalah buat cantuman pokok durian di kebun sehinggalah pokok itu mengeluarkan tunasnya antara hari ke 21 atau 25," katanya ditemui Sinar Harian di kebunnya di Lenggeng pada Jumaat.

Zain menunjukkan kaedah cantuman durian pada pokok
Zain menunjukkan kaedah cantuman durian pada pokok

Menurutnya, sejak lima tahun bergelar sebagai jurunikah pokok, dia telah mengahwinkan puluhan ribu pokok durian termasuk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, biasanya dalam sehari, dia mampu mengahwinkan 100 pokok saiz sederhana dan 20 pokok untuk saiz dewasa pula.

Artikel Berkaitan:

"Saya pernah dapat tugasan kawenkan durian di kebun seluas lapan hektar iaitu ada kira-kira 700 pokok.

"Kalau banyak macam itu, biasanya saya akan ajak rakan-rakan lain untuk bantu. Bayangkan jika satu pokok kita caj RM30, boleh dapat RM21,000 untuk satu kerja," katanya.

Zain menunjukkan kaedah cantuman durian pada anak pokok durian
Zain menunjukkan kaedah cantuman durian pada anak pokok durian

Jelas beliau, caj untuk kawinkan pokok saiz dewasa atau tua lebih mahal kerana ia lebih mencabar disebabkan kulitnya yang keras selain ada ketikanya perlu memanjat.

Bagaimanapun katanya, sebaik saja tunas telah pun keluar, menjadi tanggungjawab pekebun untuk memastikan pokok dijaga dengan baik.

Selain itu katanya, pokok durian yang dikahwinkan boleh berbuah dalam tempoh seawal lima tahun berbanding pokok yang membesar sendiri mengeluarkan hasil pada tahun kelapan.

"Pokok penanti atau pokok asal biasanya disemai daripada biji durian biasa. Apabila dikahwin dengan durian premium daripada pokok yang sudah besar, ia memberi kelebihan dari segi genetik.

"Genetik pokok yang sudah dewasa bergabung dengan pokok yang masih kecil akan mempercepatkan tumbesaran dan masa untuk berbuah," katanya.

Tambah Zain, ada juga teknik mencantumkan pokok besar atau dewasa dengan mata tunas durian premium seperti musang king, duri hitam, tupai king dan IOI.

Dalam pada itu katanya, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika proses cantuman ialah pisau yang digunakan perlulah tajam dan bersih.

Biasanya kata Zain, dia akan menggunakan pisau cukur kerana matanya yang nipis dan tajam mampu menghasilkan hirisan yang kemas.

"Nampak kerja dilakukan macam mudah, tapi kalau tidak menggunakan teknik yang betul, proses cantuman itu tak menjadi.

"Sebab itu pentingnya untuk kita ikuti beberapa kursus pertanian sebelum menyediakan perkhidmatan sebagai jurunikah durian ini," katanya.

Cantuman durian perlu dilakukan berhati-hati bagi memastikan pokok tidak rosak
Cantuman durian perlu dilakukan berhati-hati bagi memastikan pokok tidak rosak

Ditanya mengenai cara mendapatkan ilmu berkenaan, Zain berkata, dia mengikuti kursus dengan Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan kursus anjuran pihak swasta.

"Selepas kira-kira enam tahun melakukan kerja cantuman ini, saya kerap dipanggil untuk memberikan ceramah dan mengajar pelajar baharu anjuran agensi kerajaan dan swasta.

"Saya lihat tugas kawenkan durian ini, boleh jadi satu kerjaya sekiranya dibuat bersungguh-sungguh atau boleh jadi pendapatan sampingan,"katanya.

Pada masa sama beliau turut mengambil menjual anak pokok durian kawen antara RM20 ke RM30 dan biasanya kira-kira 100 anak pokok yang terjual.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!