Projek halia bantu banduan bertani, jana pendapatan selepas bebas

ARAU - Seramai 12 banduan lelaki daripada pelbagai latar belakang diberi pendedahan dalam bidang pertanian dan keusahawanan melibatkan penanaman halia.
Inisiatif Pusat Koreksional Negeri Perlis itu digerakkan bagi membantu peserta untuk menjana pendapatan selepas dibebaskan dari tahanan penjara kelak.
Projek dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis itu diberi nama ‘Halia Di Penjara: Biar Benih Jadi Jasa & Kenangan’.
Ia dipantau oleh syarikat pemula pertama universiti berkenaan iaitu Athanliz Innovations Sdn Bhd dengan menggunakan sistem mentorship melibatkan kerjasama enam usahawan.
Kesemua banduan diberi latihan tentang teknik tanaman halia polibeg di lapangan selama enam bulan bermula dari benih halia disemai hingga ke tuaian dan penghasilan produk.
Difahamkan, halia yang ditanam dijangka dapat dituai seawal bulan April depan di mana hasil dianggarkan sekitar 700 kilogram (kg).
Kesemua halia tersebut juga akan diproses untuk dijadikan produk bagi tujuan kegunaan komersial terdiri daripada bam urut aromaterapi, minyak rambut, gummy dan serbuk jus.
Selain bercucuk tanam, banduan berkenaan juga diberi latihan kemahiran berkomunikasi bagi memudahkan mereka menjual produk dihasilkan kepada orang ramai.
Malah mereka juga diberi pendedahan tentang penggunaan media sosial sebagai medium pemasaran yang berkesan.
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr Ahmad Nizan Mat Noor berkata, fasa pertama projek berkenaan telah bermula pada September 2024 dengan penanaman benih halia di dalam kawasan Pusat Koreksional Negeri Perlis sebanyak 300kg.
“Fasa seterusnya melibatkan program latihan selama lima bulan yang melibatkan asas perniagaan, pemasaran digital dan kursus pembuatan produk, pembungkusan produk dan bengkel pemadanan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Projek ‘Halia Di Penjara: Biar benih jadi Jasa & Kenangan’ dan Penyerahan Sijil kepada para prospek di Pusat Koreksional Perlis pada Selasa.
Tambahnya, program berkenaan akan dipantau selama enam bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!