Program Affiliate & Dropship Karangkraf jana pendapatan 5 angka

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Karangkraf Mall Sdn Bhd memberi peluang kepada orang ramai untuk menjana pendapatan sehingga lima angka melalui program Peluang Jadi Affiliate & Dropship Karangkraf yang telah diperkenalkan sejak 2023.
Eksekutif E-dagangnya, Nurul Khalidah Kamarulzailan berkata, melalui inisiatif tersebut, orang ramai boleh meraih pendapatan dengan mempromosikan produk Karangkraf Mall sama ada menerusi media sosial atau platform perniagaan dalam talian.
Menurutnya, program berkenaan sehingga kini memiliki lebih 1,000 affiliate dan 300 dropship yang berdaftar di bawah syarikat berkenaan.
“Program dropship menawarkan komisen sehingga 30 peratus di mana peserta menjual secara dalam talian dan berhak menentukan harga serta keuntungan mereka
“Manakala, program affiliate pula memberikan komisen sebanyak 12 peratus di mana peserta hanya perlu membuat video promosi dan menyertakan pautan ke produk Karangkraf Mall.
“Setiap pembelian melalui pautan tersebut secara automatik akan memberi komisen kepada peserta,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Nurul Khalidah berkata, Karangkraf Mall menyasarkan penyertaan antara 50 hingga 100 peserta affiliate dan dropship baharu setiap bulan, sebagai usaha untuk terus mengembangkan jangkauan serta memberikan peluang menjana pendapatan kepada lebih ramai individu.
“Salah seorang peserta dropship Karangkraf Mall pernah mencapai komisen sehingga RM60,000 sebulan. Itu antara penjualan paling tinggi.
“Ini membuktikan potensi pendapatan yang ketara melalui program yang ditawarkan oleh Karangkraf Mall,” ujarnya.
Tambah Nurul Khalidah, bagi kedua-dua program berkenaan, segala urusan melibatkan proses pesanan, pembungkusan dan penghantaran produk kepada pelanggan akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Karangkraf Mall.
“Langkah tersebut bukan sahaja meringankan beban peserta malah membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya ke arah mempromosikan produk,” katanya.
Mengulas mengenai proses pendaftaran, Nurul Khalidah berkata, penyertaan dalam program affiliate terbuka kepada sesiapa sahaja berusia 18 tahun ke atas secara percuma.
Ujarnya, bagi program dropship, peserta perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM30 dan mendaftar keahlian menerusi laman web www.empayarbuku.com.
“Selepas itu, kita akan masukkan peserta yang telah mendaftar ke dalam kumpulan sokongan di WhatsApp. Melalui platform itu, kita bantu dengan sediakan bahan kandungan pemasaran produk untuk media sosial seperti video dan gambar.
"Kami sentiasa menggalakkan penyertaan dalam kedua-dua program ini, sama ada untuk pelajar, suri rumah dan pekerja yang mahu mendapatkan pendapatan sampingan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!