Jurang akademik cabaran besar bakal Menteri Pendidikan

Ahmad Fakhruddin
Ahmad Fakhruddin
A
A
A

ALOR SETAR - Cabaran besar menanti bakal Menteri Pendidikan serta pasukannya di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengekalkan prestasi pelajar luar bandar supaya setanding pelajar di bandar.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi mencadangkan prasarana pendidikan seperti persediaan peralatan makmal, alat bantu mengajar serta kemudahan asrama untuk pelajar pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak perlu diutamakan.

Menurutnya, latihan keguruan perlu dipertingkatkan sesuai dengan teknologi dan pedagogi semasa supaya dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara.

"Begitu juga pemerkasaan institusi keguruan seperti Institut Perguruan sewajarnya diperkemaskan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim yang mengumumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut memaklumkan pengurangan jurang pencapaian akademik di antara pelajar bandar dan luar bandar adalah satu pencapaian memberangsangkan.

Ahmad Fakhruddin dalam kenyataannya berkata, Pas turut mengucapkan tahniah kepada semua guru sehingga pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) melonjak daripada 4.86 berbanding 4.89 pada 2018.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya berkata, pencapaian yang secara keseluruhannya lebih baik berbanding tahun 2018 memberi petunjuk bahawa peluasan dan keberkesanan sistem pendidikan serta dasar yang diamalkan telah berjaya memberi peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.

Muhyiddin berkata, Gred Purata Nasional (GPN) kali ini adalah 4.86, kurang 0.03 daripada 4.89 bagi tahun 2018, dengan angka lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peratus calon yang layak menerima sijil SPM turut meningkat, selain 860 daripada 1,402 Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang menduduki peperiksaan itu layak dianugerahkan sijil SPM.