Cabaran sengit menanti KDA FC

KDA FC giat menjalani latihan rapi sebagai persediaan menghadapi aksi Liga Super ke-13 bertemu Sabah FC di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat. - Foto KDA FC
KDA FC giat menjalani latihan rapi sebagai persediaan menghadapi aksi Liga Super ke-13 bertemu Sabah FC di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat. - Foto KDA FC
A
A
A

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain menjangkakan satu cabaran sengit akan dihadapi pasukannya apabila menerima kunjungan Sabah FC pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.

Menurutnya, Sang Kenari yang mahu menebus kekecewaan selepas tewas tipis 3-2 kepada Selangor FC pada aksi Liga Super 24 Mei lalu mendambakan tiga mata penting untuk membantu mereka kekal di kelompok atasan liga.

"Jika kami menyudahkan pusingan pertama liga di tangga keempat, ia satu tahap yang baik buat kami bagi meneruskan lagi aksi ke pusingan kedua liga selepas ini," katanya mengulas aksi Liga Super ke-13 minggu ini.

Sabah FC kini berada di tangga keempat dengan 24 mata berbanding Kedah dengan 22 mata di tangga kelima selepas 12 perlawanan.

Jelasnya, Sabah FC pastinya juga mahu mencari penawar duka selepas disingkirkan oleh Kuala Lumpur City FC daripada saingan Piala FA 2023 baru-baru ini.

"Sabah mempunyai kualiti pemain yang berada pada tahap yang terbaik dari segi pemain tempatan seperti Baddrol Bakhtiar mahupun import berpengalaman.

"Jika mahu membandingkan dengan Kedah, saya menjangkakan satu cabaran cukup sengit bakal kami hadapi kali ini," ujar Nafuzi.

Tambahnya, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan oleh Sang Kenari sebaik mungkin untuk mendapatkan mata penuh.

"Pemain perlu beraksi dengan lebih baik dan berkeyakinan, tambahan pula kami akan beraksi di depan lebih ramai penyokong sendiri yang akan meniupkan semangat ketika beraksi," katanya lagi.