KPM keluar pekeliling larang aktiviti luar bilik darjah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

TANJONG KARANG - Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengeluarkan pekeliling berhubung larangan sebarang aktiviti luar termasuk kokurikulum murid dan pelajar sekolah bagi mengelak serangan strok haba.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pekeliling yang berkuat kuasa pada Rabu itu mesti dipatuhi semua guru besar dan pengetua di seluruh negara.

Jelasnya, keputusan mengenai larangan itu melibatkan semua kegiatan luar termasuk sukan, perkhemahan dan merentas desa.

"Pekeliling ini membabitkan sesi persekolahan pada waktu pagi atau petang dan pembelajaran hanya dijalankan sepenuhnya dalam kelas atau bilik darjah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Selamat Hari Raya Cikgu di Tanjong Karang di sini pada Khamis.

Beliau menjelaskan, larangan terkini itu meliputi garis panduan baharu yang ditetapkan KPM selepas turut memberi kelonggaran pemakaian pakaian sukan berikutan cuaca panas ketika ini.

Ujar Fadhlina, pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca dan suhu semasa dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ujar beliau, pada masa ini, suhu sedia ada masih tidak menentu dengan berada pada tahap amaran satu.

"Jika berada pada amaran dua dan tiga selama tiga hari berturut-turut, kita akan memberi kelonggaran untuk sekolah dicutikan.

"Bagaimanapun KPM sentiasa mengikuti saranan KKM selaras dengan semua garis panduan yang ditetapkan," jelasnya.