PBT diminta kreatif elak isu 'gajah putih' kios KPKT

KULAI – [DIKEMAS KINI] Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu kreatif dan sentiasa memikirkan kaedah yang bersesuaian untuk memastikan isu 'gajah putih' melibatkan projek MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak berlaku.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, walaupun penyediaan kios percuma bertujuan membantu rakyat, inisiatif daripada PBT seperti yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) adalah penting.
"Di sini, kita perkenalkan kaedah dua peniaga berkongsi satu kios mengikut masa operasi bagi mengelakkan pembaziran ruang niaga. Contohnya, pagi peniaga A, tengah hari peniaga B, dan malam pun boleh.
"Satu kios digunakan maksimum tiga peniaga secara bergiliran. Ini adalah kreativiti MPKu untuk memastikan kios itu sentiasa beroperasi. Inisiatif ini turut membantu peniaga yang sebelum ini tidak mempunyai lesen dan berniaga secara haram.
"Kita beri lesen sah dan enam bulan pertama tak perlu bayar sewa. Ini ruang permulaan untuk bantu mereka stabil, tetapi peniaga perlu mempunyai semangat berniaga,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa projek kios KPKT merupakan salah satu projek 'gajah putih'.
Tun Faisal menyatakan bahawa projek berkenaan adalah satu pembaziran dan tidak praktikal. Beliau turut mendakwa sambutan terhadap kios tersebut sangat kurang, dengan banyak kios kosong serta dilambakkan di kawasan tertentu.
Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, saringan terhadap peniaga perlu dilakukan bagi memastikan kemudahan kios yang disediakan tidak terbiar dan menjadi 'gajah putih’.
“Kita tidak mahu kios yang dibina dengan kos RM15,000 hingga RM20,000 seunit akhirnya terbiar begitu saja. Jika diberikan kepada peniaga yang tidak bersedia, tidak cukup modal atau tidak mampu bersaing, memang akhirnya akan tutup.
“Sebab itu penting untuk menapis dan memilih peniaga yang benar-benar berpengalaman. Antara syarat utama ialah peniaga mestilah sudah berniaga sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun serta menunjukkan komitmen dalam menguruskan perniagaan," ujarnya.
Pada masa sama, Mohd Jafni menegaskan bahawa sekiranya peniaga yang dipilih tidak mampu menguruskan kios dengan baik, lesen akan ditarik semula dan diberikan kepada peniaga lain.
Tambahnya, terdapat 1,175 kiosk di bawah projek MyKiosk KPKT di Johor dengan anggaran peruntukan RM26.5 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


