Sewa RM150 sebulan, MyKiosk rancakkan perniagaan

JEMPOL - Deretan premis MyKiosk telah beroperasi sejak tiga tahun lalu di sini ternyata memberi impak positif kepada peniaga kecil selain menjadi sumber pendapatan penduduk setempat.
Tinjauan Sinar Harian di MyKiosk disediakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sekitar Bahau mendapati kemudahan berkenaan menjadikan lokasi terpilih lebih teratur, tersusun dan kemas.
Peniaga, Khusyairi Ruzlan, 34, berkata, lega apabila diberi peluang berniaga ayam gunting dan takoyaki di situ hampir setahun lalu.
"Alhamdulillah perniagaan saya berjalan lancar dengan kadar bayaran sewa bulanan yang berpatutan.
"Bagaimanapun, masih banyak kiosk kosong di tempat saya niaga ini, kalau ramai berniaga di sini rasa akan lebih rancak lagi tambahan pula lokasinya dekat dengan jalan utama," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Seorang lagi peniaga, Aida Suriani Iskandar Abdullah, 40, berniaga air kopi, air coklat dan odden turut senada dengan Khusyairi selain berharap perniagaanya terus maju.

"Sebelum ini saya berniaga di Klang, Selangor dan ambil keputusan mengikut suami ke sini. Saya cuba ambil peluang niaga Alhamdulillah ada sambutan, jadi peniaga lain juga digalak berniaga menggunakan kiosk ini sebab ada kemudahan," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Mohd Nazri Mulup berkata, sebanyak 50 unit MyKiosk disediakan KPKT di daerah ini bermula tahun 2023 dengan 36 unit daripadanya telah disewa oleh peniaga dan bakinya 14 unit masih kosong.
"12 daripada 14 unit yang kosong itu sebelum ini telah disewa namun diserahkan semula oleh peniaga atas justifikasi tidak lagi menjalankan perniagaan atau masalah ekonomi.
"Kebanyakan peniaga tidak mampu mengekalkan momentum jualan kerana jenis jualan atau menu yang mengikut musim (trending) pada satu-satu masa sahaja," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya peniaga berkenaan mematuhi syarat sewa atau lesen perniagaan MyKiosk antaranya tidak dibenarkan menggaji atau dibantu individu warga asing serta menjalankan perniagaan beli serta bawa pulang sahaja.
"Selain itu, mereka perlu pastikan dan kekalkan struktur atau bentuk asal unit MyKiosk dalam tempoh penggunaan dan sewaan," katanya yang memaklumkan kadar sewa ditetapkan RM150 sebulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!