'Selesai segera isu kios kosong, jangan sampai MB turun'

Aminuddin pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco pada Rabu.
Aminuddin pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu menyelesaikan isu gerai MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang masih kosong.

Aminuddin berkata, beliau tidak mahu projek yang bertujuan membantu peniaga kecil itu gagal mencapai matlamatnya, sekali gus menyebabkan pembaziran dana awam.

Menurutnya, PBT diminta menggunakan kreativiti masing-masing untuk menghidupkan kawasan berkenaan bagi membantu peniaga kecil merancakkan perniagaan.

“Jika tahu kios berkenaan kosong, PBT patut cari alternatif untuk letak di lokasi baharu. Sebab itu reka bentuk dibuat seperti itu, supaya kios tersebut mudah dipindahkan.

“Jangan bila letak di satu tempat kemudian dibiarkan. Ini tanggungjawab mereka, tidak boleh hanya kutip RM100 kemudian lepas tangan dengan beranggapan itu bukan kerja mereka. Ini tidak boleh.

“Sepatutnya dalam tempoh enam bulan, jika tidak dapat sambutan, kena cari tempat baharu atau digantikan dengan pengusaha lain. Ini yang patut dilakukan,” katanya.

Justeru, Aminuddin meminta jabatan yang menguruskan penjaja kecil dan usahawan di semua PBT memainkan peranan mereka.

Artikel Berkaitan:

Mykiosk KPKT di Negeri Sembilan masih banyak yang kosong.
Mykiosk KPKT di Negeri Sembilan masih banyak yang kosong.

“Saya ingin ingatkan PBT, apabila ada peruntukan seperti ini, ia bukan untuk dibiarkan... esok rosak kita buang, itu pembaziran namanya.

“Saya harap PBT dengar nasihat saya. Jangan sampai saya turun padang, Exco Kanan turun, Setiausaha Kerajaan Negeri beri amaran... jangan sampai begitu,” katanya.

Terdahulu, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar, memaklumkan PBT diberi tempoh sebulan untuk mengisi peniaga di gerai MyKiosk bagi mengelakkan kemudahan itu menjadi projek ‘gajah putih’.

Sebanyak 414 MyKiosk disediakan di negeri ini bagi tahun 2023 dan 2024, dan daripada jumlah itu, sebanyak 250 telah diisi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!