Struktur haram rumah ibadat dibina atas rizab masjid diroboh

Operasi merobohkan struktur haram rumah ibadat dibina tanpa kebenaran di rizab Masjid Pekan Dengkil, Kampung Cemperai Sepang pada Khamis.
Operasi merobohkan struktur haram rumah ibadat dibina tanpa kebenaran di rizab Masjid Pekan Dengkil, Kampung Cemperai Sepang pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang merobohkan struktur haram rumah ibadat dibina tanpa kebenaran di rizab Masjid Pekan Dengkil, Kampung Cemperai Sepang pada Khamis.

Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim berkata, operasi itu membabitkan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi daerah.

Menurut beliau, operasi itu dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

"Operasi ini menunjukkan komitmen tinggi demi memastikan tanah milik awam tidak diceroboh sewenang-wenangnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, usaha dan kerjasama itu amat bermakna dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.

Antara agensi yang menyertai operasi itu ialah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Sepang).

Turut terlibat sama, Jabatan kerja Raya (JKR), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Suruhanjaya Tenaga (ST), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor dan Unit Penguatkuasaan PDT Sepang.

Sinar Harian pada 13 April lalu melaporkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan tapak cadangan pembinaan Masjid Dengkil selepas mengenal pasti kewujudan sebuah rumah ibadat peribadi yang dibina secara tidak sah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu isu itu diselesaikan segera demi menjaga kesucian dan kepentingan umat Islam di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, JAIS akan memastikan tindakan bagi pengosongan tanah di tapak pembangunan masjid Dengkil dibuat dalam tempoh satu bulan.

Keputusan itu diambil selepas tanah seluas empat hektar itu telah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dengan membina kuil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!