Anak yatim, asnaf perlu bantuan teruskan pengajian tahfiz

BESERI – “RM10 bagi anda mungkin kecil, tapi sangat besar nilainya untuk pendidikan seorang anak yatim dan asnaf.”
Itu harapan disuarakan pihak Madrasah Tahfiz Muqarrabin di sini yang berdepan kekangan dana bagi meneruskan operasi harian mereka.
Timbalan Mudirnya, Muhammad Harith Abd Wahab berkata, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM4,980 setiap bulan untuk menampung kos utiliti seperti elektrik, air dan internet.

"Ini merupakan kemudahan asas yang penting bagi memastikan kelangsungan pembelajaran 35 pelajar tahfiz di madrasah berkenaan. Sebab itu bantuan dari segi kewangan sangat diperlukan setiap bulan," katanya.
Menurut beliau, tanpa sokongan masyarakat, sukar untuk mereka meneruskan usaha mendidik anak-anak ini menjadi generasi al-Quran.
Muhammad Harith memberitahu, pelajar di madrasah itu terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf yang bergantung sepenuhnya kepada dana sumbangan orang ramai.
"Masyarakat boleh bersama-sama menyumbang melalui infaq tunai, tidak kira jumlah kerana sumbangan kecil jika digerakkan secara berjemaah mampu memberi impak besar.
“RM10 atau RM20 pun sudah cukup besar ertinya jika kita lakukan bersama. Inilah peluang untuk kita rebut saham akhirat.
“Setiap sen yang disumbangkan, kami doakan menjadi pahala berpanjangan dan diberi ganjaran berlipat kali ganda oleh ALLAH SWT,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 5590-1233-7130 atau hubungi 016-2061455, 011-72538299 dan 011-19021719.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!