Harris Rayyan dijangka jalani pembedahan hari ini

Muhamad Harris dimasukkan ke IJN sebagai untuk menjalani pembedahan jantung.
Muhamad Harris dimasukkan ke IJN sebagai untuk menjalani pembedahan jantung.
A
A
A

SHAH ALAM - Pesakit jantung kanak- kanak, Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi, 7, dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sebagai persediaan menjalani pembedahan jantung yang dijadualkan pada hari ini.

Bapanya, Mohd Khusaimi Mohamad, 45, berkata, jadual pembedahan diawalkan daripada tarikh asal atas pertimbangan pihak hospital, walaupun tiada penjelasan khusus diberikan setakat ini.

Menurut Mohd Khusaimi, pada awalnya pembedahan dijangka dilakukan pada 10 Mei tetapi tarikh diawalkan dua hari.

“Sekarang saya berada di IJN menunggu tempat (katil) untuk anak. Mengenai pertukaran tarikh atau prosedur pembedahan, saya memang tidak tahu memandangkan masih belum sempat bertemu dengan doktor.

“Pertukaran ini hanya dimaklumkan pihak hospital beberapa minggu lalu, namun saya tidak kisah bila pembedahan akan dilakukan sebab perkara paling penting adalah semuanya berjalan lancar.

“Buat masa sekarang anak saya aktif dan alhamdulillah dia sihat sahaja. Sebenarnya dia pun kurang pasti apa berlaku, saya cuma beritahu dia akan tidur di hospital buat sementara waktu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Muhamad Harris Rayyan adalah penerima pertama kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil, hasil kerjasama antara Sinar Harian dan IJN membantu meringankan beban kewangan ibu bapa kanak-kanak pesakit jantung berusia 12 tahun ke bawah.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu menghidap simptom masalah jantung berlubang sejak bayi.

Dia akan menjalani pembedahan Ventricular Septal Defect Closure and Resection of Infundibular Stenosis pada 10 Mei ini dengan kos pembedahan sebanyak RM45,000.

Artikel Berkaitan:

Tabung pertama kempen tersebut sepatutnya dibuka selama tempoh 41 hari sehingga 4 Mei, namun ditutup lebih awal pada 30 April apabila berjaya memperoleh dana RM21,565.23 hasil sumbangan orang ramai secara terus ke akaun bank Sinar Harian.

Sementara bakinya disalurkan yayasan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama IJN.

Menurut Mohd Khusaimi, anaknya adalah seorang kanak-kanak yang aktif dan ceria.

Bagaimanapun, sebagai ibu bapa, dia terpaksa mengehadkan aktiviti harian Muhamad Harris termasuk di sekolah.

“Dia memang suka bermain tapi kami minta cikgu kurangkan aktiviti yang boleh buat dia letih. Oleh itu, kami sekeluarga mengharapkan pembedahan ini berjalan lancar kerana mahu lihat dia sihat dan kembali aktif macam kanak-kanak lain.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih semua pihak sama ada Sinar Harian dan penyumbang. Tanpa bantuan ini, sukar untuk kami sampai ke tahap ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!