‘Dana bedah Harris cukup, terima kasih penderma’

SHAH ALAM - Ibu bapa kepada pesakit jantung kanak- kanak, Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi, 7, melahirkan rasa syukur kerana kutipan derma menerusi kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil kini sudah mencukupi.
Bapanya, Mohd Khusaimi Mohamad, 45, berkata, sumbangan yang diterima itu membolehkan anaknya menjalani pembedahan dalam masa terdekat.
“Kami ingin berterima kasih kepada Sinar Harian, Institut Jantung Negara (IJN), penderma individu dan korporat yang telah membantu mengumpulkan dana sebanyak RM45,000 untuk pembedahan jantung Muhamad Harris Rayyan.
“Saya juga berharap supaya semua rakyat Malaysia dapat mendoakan proses pembedahan jantung anak saya berjalan lancar tanpa sebarang masalah, yang dijadualkan pada 10 Mei ini di IJN.
“Bukan itu sahaja, kami turut bersyukur kerana saudara-mara dan rakan- rakan yang tampil menghulurkan bantuan kewangan dan sokongan moral buat kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Muhamad Harris Rayyan merupakan penerima pertama menerusi kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil, hasil kerjasama antara Sinar Harian dan IJN, bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa kanak-kanak pesakit jantung berusia 12 tahun ke bawah.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu menghidap simptom masalah jantung berlubang sejak bayi lagi.
Dia akan menjalani pembedahan Ventricular Septal Defect Closure and Resection of Infundibular Stenosis pada 10 Mei ini dengan kos pembedahan sebanyak RM45,000.
Tabung pertama kempen tersebut sepatutnya dibuka selama tempoh 41 hari sehingga 4 Mei, namun ditutup lebih awal pada 30 April apabila berjaya memperoleh dana sebanyak RM21,565.23 hasil sumbangan orang ramai secara terus ke akaun bank Sinar Harian.
Sementara bakinya disalurkan oleh sebuah yayasan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama IJN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
