Pertengkaran mulut sebelum maut tercampak dari van, suami positif dadah

CHERAS – Berlaku pertengkaran mulut bersama suami sebelum seorang wanita tercampak daripada sebuah van di tepi Lebuhraya Shah Alam (KESAS), berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala ke Petaling Jaya, di sini pada Selasa.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun yang juga suami kepada mangsa, ditahan polis di Taman Kinrara, Puchong sekitar jam 6 petang pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek memberitahu bahawa berlaku pertengkaran mulut dengan isterinya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Suspek bekerja sebagai penghantar barangan penghawa dingin dan mempunyai satu rekod jenayah lampau serta dua rekod berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, pasangan itu telah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak.
"Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, benzo dan amphetamine.
"Menurut suspek, mangsa juga terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine," katanya.Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
