[VIDEO] Pengerusi Masjid Al-Busyra sedia disiasat SPRM

A
A
A

MERBOK – Pengerusi Masjid Al-Busyra menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa beliau mengambil sebahagian komisen dalam projek pembangunan, termasuk hotel yang dibina di kawasan masjid seperti didakwa di media sosial.

Mohd Firdaus Mat Akhir, yang juga merupakan imam masjid dan dikaitkan dengan kontroversi penyelewengan kutipan infak, bagaimanapun menyatakan kesediaannya untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terbukti bersalah.

Beliau sebelum ini telah mengingatkan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati supaya membuat aduan rasmi melalui saluran yang betul jika terdapat sebarang isu berbangkit.

“Saya bersedia untuk disiasat dan ambillah tindakan jika saya bersalah... banyak kali saya maklumkan kepada anak kariah, sekiranya ada rasa tidak berpuas hati, sila buat laporan dan biarlah saya ditangkap daripada menuduh saya menyeleweng duit masjid,” jelasnya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Firdaus menunjukkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya melalui media sosial.
Mohd Firdaus menunjukkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya melalui media sosial.

Beliau berkata, ini bukan kali pertama dirinya difitnah, malah telah beberapa kali dipanggil oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) untuk menjawab tuduhan tidak berasas yang telah sampai ke pengetahuan pejabat agama dan pihak istana.

Mohd Firdaus turut menegaskan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap individu yang melemparkan fitnah, termasuk melalui media sosial.

“Kalau betullah saya nak ambil komisen, pasti ahli jawatankuasa mahupun pejabat agama akan ambil tindakan terlebih dahulu ke atas saya.

Artikel Berkaitan:

“Kalau semua nak tahu, cara infak dilakukan ialah dengan hadir ke masjid, ke pejabat dan resit akan dikeluarkan, atau jika melalui akaun bank, setiap transaksi direkodkan dan diketahui ke mana aliran wang itu disalurkan... kami juga satu-satunya masjid yang mempunyai laporan audit,” katanya.

Transformasi Masjid Al-Busyra Merbok dilakukan selepas Mohd Firdaus dilantik menjadi pengerusi, membabitkan ruang solat dan beberapa kemudahan lain ditambah dan dinaik taraf.
Transformasi Masjid Al-Busyra Merbok dilakukan selepas Mohd Firdaus dilantik menjadi pengerusi, membabitkan ruang solat dan beberapa kemudahan lain ditambah dan dinaik taraf.

Mohd Firdaus, yang dilantik menjadi imam sejak 2018, berkata beliau turut menguruskan perniagaan sendiri dan tidak pernah terlintas untuk melakukan perbuatan tidak berintegriti seperti yang difitnah.

Mengulas usaha yang dilaksanakan sejak 2018, beliau memaklumkan beberapa perubahan drastik telah dilakukan terhadap masjid dan berkemungkinan menjadi punca ketidakpuasan hati sesetengah pihak.

“Dengan bantuan dana orang ramai, saya ubah suai ruang solat utama, roboh pagar keliling dan bina tandas seperti di R&R sehingga menarik semakin ramai musafir singgah serta menambah keyakinan orang ramai untuk berinfak, sekali gus membantu kerja-kerja pembangunan lain.

“Masjid dibuka 24 jam, tandas yang dibina telah diiktiraf mengikut ASEAN Public Toilet Standard (ASEAN Tourism Standard) sejak 2023 hingga 2025. Kami ada Al-Busyra Mart, dobi, tempat cuci kereta, kedai gunting rambut lelaki, spa dan salun muslimah serta kedai aksesori telefon.

“Semua fasiliti ini dibangunkan untuk menjadikan masjid sebagai Pusat Sehenti (One Stop Center), dan hotel adalah sebahagian daripada fasiliti yang dirancang sempena Tahun Melawat Kedah 2025,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini hotel tersebut masih belum dibuka kepada orang ramai kerana menunggu kelulusan membangunkan pencawang khas bagi menjana bekalan elektrik di kawasan itu.

Menurutnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Masjid Al-Busyra yang terletak di pekan Merbok, Kedah, telah menjadi tumpuan dan persinggahan kerana lokasinya berhampiran Murtada Dakwah Center (Madad) dan destinasi pelancongan Tanjung Dawai.

“Sebab itu kita bina penginapan – bukan hotel mewah tetapi kontena yang diubah suai menjadi bilik. Sekurang-kurangnya dapat membantu pelancong yang lalu di sini untuk menginap,” ujarnya.

Mohd Firdaus turut menjelaskan bahawa kedudukan beberapa institusi pendidikan seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan AIMST University juga menyumbang kepada kehadiran pengunjung dari seluruh negara sepanjang tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!