Bayi dua bulan parah disyaki didera ibu

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Bayi lelaki berusia dua bulan kini sedang bertarung nyawa di Hospital Melaka akibat mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam selepas dipercayai didera ibunya di Sungai Petai, Alor Gajah, pada Isnin.
Menurut sumber, insiden yang menimpa bayi itu terbongkar selepas seorang wanita muda berusia 22 tahun yang sedang dalam tempoh berpantang menghantar bayinya ke Hospital Alor Gajah kerana mendakwa anaknya diserang sawan.
Katanya, sebaik tiba di hospital, bayi malang itu didapati tidak sedarkan diri sebelum wanita terbabit menghilangkan diri.
"Bayi tersebut terus dirujuk ke Hospital Melaka.
"Namun pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor pakar menemui kesan lebam, luka pada badan dan leher, serta pendarahan lama dan baharu dalam kepala bayi itu," katanya.
Tambahnya, doktor terbabit telah membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa didera, dan bayi berkenaan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) hospital sama.
Menurutnya lagi, hasil maklumat yang diperoleh, polis berjaya mengesan kediaman ibu bayi berkenaan di Sungai Petai, Alor Gajah.
"Suspek berjaya ditahan kira-kira jam 7.30 malam Selasa, dan polis akan membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Gajah bagi menjalankan siasatan lanjut," ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan usaha mendapatkan pengesahan lanjut daripada Ketua Polis Melaka, Datuk Zulkiflee Rashid, sedang dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan polis berkenaan dan pihaknya telah menanah ibu bapa bayi berkenaan masing-masing berusia 22 dan 34 tahun untuk siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
