Drama tujuh gol Inter, Barcelona

Frattesi memastikan kemenangan buat Inter selepas menyingkirkan cabaran Barcelona di separuh akhir Liga Juara-Juara pada Rabu. Foto: Agensi
Frattesi memastikan kemenangan buat Inter selepas menyingkirkan cabaran Barcelona di separuh akhir Liga Juara-Juara pada Rabu. Foto: Agensi
A
A
A

MILAN – Kelab Serie A Itali, Inter Milan menghasilkan kebangkitan dramatik pada penghujung perlawanan untuk menewaskan Barcelona dengan agregat 7-6 dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara di Stadium San Siro pada Rabu.

Ketika masa tambahan berbaki hanya dua minit, Inter yang ketinggalan 2-3 tampak akan tersingkir sebelum bek tengah, Francesco Acerbi, meledakkan hantaran lintang untuk menyamakan kedudukan agregat.

Jaringan itu kemudian disusuli oleh gol pemain gantian, Davide Frattesi, yang memastikan kemenangan buat juara Itali tersebut pada babak pertama masa tambahan.

Keputusan ini membawa Inter, juara Eropah tiga kali, ke final Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam tempoh tiga musim selepas dua perlawanan penuh drama yang menyaksikan 13 gol dan kedudukan agregat berubah beberapa kali.

Barcelona hanya dua minit lagi untuk mara ke final pertama mereka dalam tempoh 10 tahun selepas bangkit daripada ketinggalan 0-2 — senario serupa dengan perlawanan pertama — untuk mendahului 3-2.

Lamine Yamal hampir mengheret perlawanan ke penentuan penalti namun dinafikan dua kali oleh penyelamatan cemerlang penjaga gol Inter, Yann Sommer, ketika Inter bertahan untuk mara ke final dan mencetuskan sambutan luar biasa.

Frattesi wira Inter di San Siro. Foto: Agensi
Frattesi wira Inter di San Siro. Foto: Agensi

Inter, yang tewas 0-1 kepada Manchester City pada final 2023, akan bertemu sama ada Paris Saint-Germain (PSG) atau Arsenal di Allianz Arena, Munich pada 31 Mei dalam pentas akhir.

Arsenal akan bertandang ke Perancis pada perlawanan kedua Khamis ini selepas tewas 0-1 di Emirates Stadium minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Inter Milan pernah memenangi Piala Eropah pada 1964 dan 1965 serta menjulang Liga Juara-Juara pada 2010 ketika Jose Mourinho membimbing mereka meraih kemenangan 2-0 ke atas Bayern Munich di final.

Tiada pasukan Itali yang memenangi kejohanan itu sejak itu, dengan Juventus tewas di final pada 2015 dan 2017, sebelum Rodri menjaringkan gol tunggal untuk Manchester City menewaskan Inter di final dua tahun lalu.

Simone Inzaghi merupakan pengendali Inter ketika itu dan sekali lagi berjaya membawa mereka ke final, sambil turut bersaing untuk memenangi gelaran Serie A Itali kedua berturut-turut, dengan menduduki tangga kedua, tiga mata di belakang pendahulu, Napoli, dengan baki tiga perlawanan.

Sementara itu, Barcelona telah menjadi juara Eropah sebanyak lima kali, namun tidak pernah mara ke final sejak kejayaan terakhir mereka pada 2015.

Mereka masih berpeluang meraih trofi domestik ketiga musim ini dengan mendahului La Liga dengan kelebihan empat mata ke atas juara bertahan, Real Madrid.

Barca akan menerima kunjungan Real dalam El Clasico pada Ahad dan kemenangan akan membawa mereka lebih dekat kepada gelaran liga Sepanyol ke-28 – dan hanya yang kedua dalam enam musim terakhir.

Pasukan kendalian Hansi Flick itu telah memenangi Piala Raja Sepanyol dan Supercopa Sepanyol musim ini, menewaskan Real Madrid di kedua-dua final.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!