Proses sterilisasi sebabkan sekitar Kaabah lengang

Keadaan sekitar Kaabah lengang susulan pengosongan jemaah di kawasan tersebut bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan sterilisasi ekoran penularan Covid-19. - Foto AFP/Abdel Ghani Bashir
Keadaan sekitar Kaabah lengang susulan pengosongan jemaah di kawasan tersebut bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan sterilisasi ekoran penularan Covid-19. - Foto AFP/Abdel Ghani Bashir
A
A
A

RIYADH - Kawasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang dilihat lengang semalam berikutan proses sterilisasi dan pembersihan selama satu jam ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Lokasi suci itu yang kebiasaannya meriah dengan puluhan ribu jemaah dari seluruh dunia menjadi kosong selepas ia ditutup buat pertama kalinya dengan penggantungan sementara ibadah umrah.

Media tempatan Arab Saudi melaporkan, keputusan penggantungan tersebut melibatkan rakyat dan penduduk di Arab Saudi kelmarin selepas penguatkuasaan sama ke atas jemaah dari luar negara diumumkan pada minggu lalu.

Menurut laporan itu, seorang pegawai masjid di sana memaklumkan, sebagai langkah berjaga-jaga, kawasan itu akan terus ditutup selagi penggantungan umrah berlangsung tetapi jemaah dibenarkan solat di dalam masjid.

"Masjidil Haram serta Masjid Nabawi di Madinah akan ditutup selama satu jam selepas solat Isyak dan dibuka semula sejam sebelum solat Subuh untuk pelaksanaan kerja-kerja pembersihan serta sterilisasi," lapornya.

Dalam pada itu, sekumpulan pekerja pembersihan dilaporkan melakukan kerja-kerja pembersihan seperti menggosok dan mengelap jubin di sekitar Kaabah.

Sementara itu, seorang pegawai Arab Saudi dilaporkan memberitahu, keputusan menutup kawasan terbabit juga adalah julung kali dilakukan.

Semalam, Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi, Alauddin Mohd Nor mengesahkan kerajaan Arab Saudi mengeluarkan arahan larangan mengerjakan umrah termasuk bagi rakyatnya, selain menyekat ziarah ke Masjid Nabawi berkuat kuasa Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

Alaudin memberitahu, jemaah bagaimanapun masih bebas melakukan ziarah di lokasi tumpuan lain dan dibenarkan berada di Masjidil Haram untuk menunaikan solat dan beriktikaf.

"Kerajaan Arab Saudi tidak menetapkan jangka masa tertentu bagi sekatan berkenaan dan pihak kedutaan tidak dimaklumkan lebih lanjut dengan kebiasaannya sebarang pengumuman dibuat melalui media rasmi di sana.

“Justeru, selain penggantungan visa sementara yang diumumkan pada 27 Februari, kerajaan Arab Saudi juga turut menyekat pelaksanaan umrah sepenuhnya mulai semalam,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Arab Saudi sekat kemasukan rakyatnya ke Kota Makkah