[VIDEO] Anak Johor jadi penterjemah di Masjidil Haram

Muhammad Mujahid
Muhammad Mujahid
A
A
A

MAKKAH - Ketika kali pertama bertemu, penampilan seorang pemuda ini nampak seperti pelajar Malaysia lain yang berada di bumi Makkah untuk menuntut ilmu di universiti.

Oleh kerana bertubuh kecil, mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa Muhammad Mujahid Zaharudin, 26, dari Johor Bahru, Johor mempunyai kerjaya yang menarik.

Dalam temubual hampir satu jam dengan media Malaysia mengenai kehidupan beliau di Tanah Suci ini, Muhammad Mujahid berkongsi pengalaman bertugas sebagai penterjemah di Masjidil Haram.

Beliau bertanggungjawab dalam menterjemah khutbah Jumaat, Hari Arafah, solat gerhana matahari dan bulan, solat mohon hujan serta beberapa tugasan penting lain.

Graduan lulusan Universiti Umm Al-Qura, Makkah dalam bidang Syariah dan mempunyai diploma bahasa Arab itu juga penghafaz 30 juzuk al-Quran serta 4,000 hadis.

Kata Muhammad Mujahid, untuk melayakkan dirinya menjawat tugas berkenaan bermula Oktober 2022 lalu sebenarnya agak sukar kerana Arab Saudi menetapkan kelayakan yang tinggi.

"Di sini saya seorang sahaja yang tiada kelulusan Sarjana dan PhD (Doktor Falsafah), maka mereka menetapkan saya perlu ada kebolehan tambahan seperti keputusan cemerlang di universiti dan alhamdulilah saya dapat memenuhinya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penterjemah di Masjidil Haram terbahagi kepada 10 bahasa dan setiap bahasa mempunyai empat petugas.

Katanya, petugas kumpulan pertama bertugas di pejabat melibatkan terjemahan untuk papan tanda dan khutbah manakala kumpulan kedua berada di lapangan untuk membantu jemaah dari Malaysia dan Indonesia yang mahu bertanya soalan.

Bertugas sebagai penterjemah memerlukan penelitian kerana melibatkan imej Kementerian Haji dan Umrah.
Bertugas sebagai penterjemah memerlukan penelitian kerana melibatkan imej Kementerian Haji dan Umrah.

"Setiap minggu rutin kerja terjemah khutbah Jumaat. Kami ada empat orang, sebulan ada empat kali Jumaat jadi setiap seorang akan kena terjemah sekali.

"Teks khutbah akan dapat sehari atau dua hari awal, saya terjemah kemudian rakam untuk jemaah dengar secara langsung ketika penyampaian," katanya.

Muhammad Mujahid berkata, tugasan mencabar dalam kariernya ialah apabila perlu melakukan terjemahan kuliah Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais.

"Hampir setiap bulan beliau ada majlis khusus di Masjidil Haram dan pada masa itu tiada teks ucapan, Sheikh Sudais petik satu hadis atau ayat al-Quran dan syarahkannya. Ketika itu terjemahan secara langsung.

"Cabarannya Sheikh Sudais pandai berpuisi, bersajak dan simpulan bahasa berbeza tidak seperti bahasa kita. Contohnya panjang tangan bahasa Melayu ialah mencuri tapi panjang tangan bahasa Arab ialah orang yang suka bersedekah," katanya.

Kata beliau, terdapat juga metafora digunakan yang memerlukan penelitian supaya ayat yang diterjemah tidak membawa maksud yang berbeza.

"Setakat ini alhamdulilah tugas dapat dilaksanakan dengan baik kerana kumpulan kami sentiasa teliti dalam penterjemahan kerana ia melibatkan imej Kementerian Haji dan Umrah," katanya.

Anak sulung daripada tujuh beradik yang sudah berkahwin dan baru sahaja menimang cahaya mata itu bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan kemudiannya peringkat PhD.

Alumni Sekolah Menengah Islam Hidayah, Johor Bahru yang mencatatkan keputusan 11A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017 berkata, bidang agama yang diceburinya adalah pilihan yang tepat.

"Bapa saya seorang pensyarah kejuruteraan elektrikal di universiti tempatan dan beliau banyak memberikan galakan kerana pada pandangan beliau, bidang yang saya ceburi mempunyai masa depan yang cerah," katanya.