Melania penyokong setia Donald Trump

WASHINGTON - Melania Trump sekali lagi bergelar Wanita Pertama selepas suaminya, Donald Trump, 78, dilantik sebagai Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS) pada 20 Januari lalu.
Penampilan elegan beliau ketika menggayakan 'topi kalis ciuman Trump' antara yang mencuri tumpuan ramai, baru-baru ini.
Menerusi wawancara bersama Fox & Friends, bekas model itu memaklumkan beliau akan menetap sepenuh masa di Rumah Putih pada penggal kedua pentadbiran suaminya.
Sebelum ini, Melania, 54, enggan berpindah ke kediaman rasmi Presiden AS tersebut dan mengambil masa selama beberapa bulan untuk berbuat demikian kerana mahu memastikan anaknya, Barron yang ketika itu berusia 12 tahun tamat persekolahan di New York.

“Pada kali ini, ia agak berbeza. Saya sudah pun siap berkemas dan memilih perabot yang sesuai,” ujarnya.
Melania juga merancang untuk mengembangkan lagi inisiatif Be Best yang pernah dibangunkan ketika menjadi Wanita Pertama sewaktu Trump bergelar Presiden ke-45 AS.
Kempen tersebut memfokuskan kepada kesejahteraan kanak-kanak, usaha mengekang buli siber dan penyalahgunaan opioid.
Pada tahun lalu, beliau turut mengeluarkan memoir setebal 256 muka surat berjudul Melania yang mendedahkan tentang kisah peribadinya.

Meskipun timbul khabar angin rumah tangga mereka berantakan, Melania tetap mempertahankan suaminya dan menggesa orang ramai dan anggota Parti Demokrat supaya tidak lagi menggelar Trump sebagai 'ancaman kepada demokrasi'.
“Media menjadi punca suasana toksik ini dan menyebabkan banyak pihak 'menyerang' suami saya dan menuduhnya menggunakan retorik ganas sedangkan mereka yang memprovokasi beliau,” ujarnya.
Ketika musim kempen pilihan raya dipergiatkan pada Oktober 2024, muncul pula dakwaan menyatakan Melania mahu menuntut perceraian.
Jurucakap Trump bagaimanapun menafikan perkara itu setelah Melania enggan mengulas lanjut dan berterusan menzahirkan sokongan terhadap pencalonan suaminya untuk kembali semula ke Rumah Putih.
'Migran istimewa'
Melania Knauss dilahirkan pada 26 April 1970 di Novo Mesto, Slovenia (pada masa itu bahagian komunis Yugoslavia).
Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana dan berpindah ke Ljubljana ketika menginjak usia remaja.
Melania yang mempunyai ketinggian 180 sentimeter mula menjadi model ketika berumur 16 tahun dan dua tahun kemudian beliau menandatangani kontrak dengan sebuah agensi di Milan.
Melania sempat mendaftar di University of Ljubljana, namun berhenti belajar selepas setahun kerana mahu meneruskan profesion dalam dunia peragaan secara sepenuh masa.
Pada 1996, kerjaya model diceburinya memerlukan Melania berpindah ke AS dan diberikan kad hijau untuk pemastautin tetap pada Mac 2001 di bawah program EB-1 atau 'visa Einstein' yang diperuntukkan buat golongan dengan 'kelebihan luar biasa' termasuk ahli akademik.
Ketika berada di Washington, Melania menjadi model tetap jurugambar terkenal seperti Patrick Demarchelier dan Helmut Newton.
Wajah uniknya juga menghiasi muka depan majalah seperti Harper’s Bazaar Bulgaria, Vanity Fair Italia, the Sports Illustrated Swimsuit Issue dan pernah mencetuskan kontroversi kerana beraksi tanpa seurat benang untuk British GQ pada Januari 2000.
Beliau bertemu Trump di sebuah acara fesyen di New York pada 1998 dan pasangan itu berkahwin pada 2005 serta dikurniakan seorang putera yang juga anak kelima Presiden tersebut. Beliau menjadi rakyat Amerika secara rasmi pada 2006
Tindakan tegas pentadbiran Trump terhadap golongan migran turut mencetuskan persoalan tentang kedudukan Melania malah ibu bapanya, Viktor dan Amalija juga diberikan hak kerakyatan AS dalam masa singkat.
Pelantikan Trump pada Januari 2017 menjadikan beliau sebagai isteri Presiden AS kedua bukan rakyat Amerika memegang status Wanita Pertama selepas Louisa Adams yang merupakan isteri Presiden keenam AS, John Quincy Adam yang berasal dari London. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

