Temui ajal dalam perjalanan ke tempat kerja

SEPANG – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Sepang-LBJ, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, lelaki berusia 38 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dilaporkan dalam perjalanan dari arah Bagan Lalang menuju ke tempat kerjanya di Nilai, Negeri Sembilan.
"Menurut siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dan sebuah lagi motosikal jenis Honda EX5 dipercayai bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat pertembungan itu, mangsa tercampak ke bahu jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan tangan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Norhizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang atau menghubungi Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
