Penunggang motosikal maut bertembung kereta potong MPV di garisan berkembar

KLUANG – Seorang tukang gunting maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Kilometer (KM) 32, Jalan Kluang – Teck Wah Heng pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada jam 7.07 malam yang melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas, kereta jenis Mazda dan kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Avanza.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku pada jam 6.45 petang ketika mangsa, seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun dalam perjalanan dari arah Kluang ke Layang-Layang.
“Ketika tiba di lokasi, kereta jenis Mazda dari arah Layang-Layang menuju ke Kluang yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun sedang memotong MPV jenis Toyota Avanza di garisan berkembar.
“Keadaan ini menyebabkan mangsa yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan menyebabkannya terbabas dan bertembung dengan kereta jenis Mazda tersebut,” katanya.
Pertembungan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, badan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta Mazda dan MPV Toyota Avanza masing-masing tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis turut menahan pemandu kereta Mazda dan hasil ujian saringan awal air kencing didapati negatif dadah dan suspek juga didapati tiada memiliki sebarang rekod lampau.
Bagaimanapun, permohonan reman akan dibuat terhadap suspek bagi siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
