LPG diseleweng cecah RM450,000 disita

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 976 tong gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan ke atas sebuah premis di Kawasan Industri Ringan, Seremban pada hujung bulan lalu.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pihaknya turut menyita sebuah lori tangki, dua buah tangki LPG dan sebuah lori tiga tan untuk siasatan lanjut melibatkan jumlah rampasan dianggarkan sebanyak 17,232kg bernilai RM450,000.
"Serbuan dijalankan bermula jam 9 malam pada 30 April hasil risikan yang telah dilakukan sebelum operasi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujar beliau, pemeriksaan awal ke atas lokasi serbuan mendapati premis tersebut telah dijadikan stor haram untuk menjalankan aktiviti pemindahan LPG bersubsidi yang digunakan untuk isi rumah ke dalam lori tangki gas dengan menggunakan pam pemampat bagi kegunaan industri.
"Pasukan serbuan turut menahan seorang individu lelaki tempatan berumur 28 tahun dan enam warga asing berumur lingkungan 30-an yang merupakan pekerja di premis terbabit untuk membantu siasatan.
Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan," jelas Azman.
Selain itu, siasatan juga akan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 20010) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucuthak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram berkaitan penyelewengan minyak masak.
Ops Gasak dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Mei lalu bagi menggempur aktiviti penyelewengan dan ketirisan LPG bersubsidi.
Ia susulan banyak aduan yang diterima pihaknya berkaitan LPG yang diseleweng termasuk penggunaan di dobi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi disarankan untuk menyalurkan aduan lengkap menerusi aplikasi WhatsApp 019-848 8000; http://eaduan.kpdn.gov.my; pusat panggilan 1-800-886-800 dan aplikasi EZ Adu KPDN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

